Pakar Seru Golongan Berisiko Ambil Vaksin Covid-19 Terkini

- Advertisement -

CYBERJAYA – Individu berisiko tinggi dinasihatkan agar mendapatkan vaksin Covid-19 yang terkini bagi melindungi diri daripada varian baharu virus itu yang kini semakin menular di negara ini.

Menurut Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim, Pakar Perubatan Keluarga dan Naib Presiden Medical Mythbusters Malaysia, walaupun ramai rakyat Malaysia telah divaksin sebelum ini, perlindungan daripada dos terdahulu mungkin tidak lagi mencukupi.

“Vaksinasi yang disesuaikan dengan varian semasa amat penting untuk memastikan tahap perlindungan lebih efektif, terutama bagi mereka yang terdedah kepada risiko komplikasi serius,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Beliau turut menekankan pentingnya golongan tertentu mengekalkan status vaksinasi yang terkini — antaranya mereka yang merancang untuk ke luar negara, menghadiri perhimpunan besar, atau tinggal bersama warga emas dan individu imunokompromi.

Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini menunjukkan lebih 11,000 kes Covid-19 direkodkan sejak awal tahun 2025. Walaupun angka tersebut masih di bawah paras amaran, ia menjadi isyarat jelas bahawa masyarakat tidak boleh leka.

Dr Megat menambah bahawa mereka yang telah divaksin biasanya pulih lebih cepat dan kurang berisiko untuk dimasukkan ke hospital. Vaksin juga mampu mengurangkan kemungkinan mengalami gejala berpanjangan atau sindrom ‘long Covid’.

“Langkah terbaik ialah melakukan ujian saringan seawal mungkin jika berasa tidak sihat, terutamanya jika mengalami tanda seperti sakit tekak, demam, keletihan atau masalah perut. Gejala ringan kadangkala merupakan permulaan kepada jangkitan yang lebih serius,” jelasnya.

Katanya lagi, ujian awal bukan sekadar untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya turut membantu melindungi ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.

“Kita kini memiliki akses kepada rawatan yang berkesan dalam mencegah komplikasi. Namun, kejayaan rawatan sangat bergantung pada tindakan pantas dan awal,” ujar beliau.

Dr Megat turut menyeru orang ramai supaya menggunakan aplikasi MySejahtera untuk menyemak kelayakan dos penggalak dan menetapkan janji temu vaksinasi.

“Dengan melengkapkan vaksinasi dan menjalani ujian saringan apabila perlu, kita bukan sahaja melindungi diri, malah turut mengurangkan beban ke atas sistem kesihatan negara serta melindungi golongan paling terdedah,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berhubung gejala, vaksin, dan pusat ujian terdekat, orang ramai digalakkan merujuk aplikasi MySejahtera atau mendapatkan nasihat daripada penyedia perkhidmatan kesihatan bertauliah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat