KUALA LUMPUR – Ketika Pulau Pinang sedang melangkah ke hadapan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam dan merangsang pertumbuhan ekonomi, Pas pula berterusan cuba menghalang pembangunan negeri ini.
ADUN Pulau Tikus Joshua Woo Sze Zeng mengingatkan Pas supaya fokus kepada usaha membangunkan negeri sendiri bukannya menghalang projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.
“Kenyataan terkini daripada Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Mohd Zuhdi Marsuki, yang menggesa Kerajaan Persekutuan membatalkan projek LRT Pulau Pinang amat mengecewakan.
“Baru semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan bahawa kerja fizikal pembinaan projek LRT Pulau Pinang akan bermula dalam tempoh 2 bulan akan datang.
“Selain itu, MRT Corp juga sedang menjalankan proses pengambilan jurutera hujung minggu ini, menandakan kemajuan yang memberangsangkan dan konkrit di lapangan,” katanya di Facebook pada Rabu.
Pas semalam merayu agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memindahkan peruntukan projek LRT Pulau Pinang yang berjumlah RM17.3 bilion kepada menaikkan taraf Lebuhraya Timur Barat dari Gerik ke Jeli.
Gesaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Dr Mohd Zuhdi Marsuki disambut Ahli Dewan Negara Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Kata Nik Abduh, tiada siapa boleh menafikan bahawa naik taraf dan tambah baik yang lebih menyeluruh ke atas lebuh Raya Timur Barat (Jeli-Gerik) adalah amat mendesak.