Di bawah pentadbiran Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, negeri Sabah terus melangkah ke hadapan dengan pelbagai agenda pembangunan yang memberi tumpuan kepada kestabilan politik, pengukuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya yang diperkenalkan sejak tahun 2021, kerajaan negeri memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, pembangunan modal insan, pendidikan, infrastruktur serta kebajikan rakyat demi memastikan Sabah terus berkembang seiring dengan kemajuan negara.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk isu bekalan air, jalan raya dan kemiskinan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan perancangan pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh Sabah.
Bersama wartawan Suara TV, Jannah Jalidar, satu temubual eksklusif bersama Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor telah diadakan di Pejabat Ketua Menteri Sabah di Kota Kinabalu baru-baru ini bagi memperjelaskan hala tuju pentadbiran kerajaan negeri serta perancangan masa depan Sabah.
Suara TV : Datuk Seri, apabila melihat semula keputusan pilihan raya negeri Sabah yang lalu, apakah makna mandat ini kepada Datuk Seri secara peribadi dan apakah mesej terbesar yang Datuk Seri fahami daripada rakyat Sabah?
Datuk Seri Hajiji Noor : Keputusan pilihan raya yang lalu telah memberi mandat yang agak besar kepada kerajaan negeri apabila kita mencapai majoriti dua pertiga kerusi di Dewan Undangan Negeri. Ini bermakna rakyat memberi amanah yang besar kepada kerajaan negeri untuk lima tahun akan datang. Sebagai kerajaan yang telah diberi mandat lima tahun lalu dan kini diberi kepercayaan sekali lagi, kita mempunyai pelbagai perancangan untuk membangunkan negeri Sabah, ekonomi rakyat, pembangunan modal insan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
Selain itu, kita juga melihat kepada masalah-masalah legasi yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu yang masih belum selesai. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu menyelesaikan masalah ini walaupun berdepan pelbagai cabaran dan kritikan daripada pelbagai pihak.
Suara TV : Datuk Seri kembali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri sekitar jam tiga pagi di Istana Seri Kinabalu selepas pembentukan kerajaan negeri. Boleh Datuk Seri kongsikan pengalaman pada malam tersebut?
Datuk Seri Hajiji Noor : Sebenarnya tiada masalah besar seperti yang ditanggapi sesetengah pihak. Upacara mengangkat sumpah diadakan lewat malam kerana pihak istana perlu menerima keputusan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya terlebih dahulu. Walaupun pada petang itu kita sudah mengetahui secara umum bahawa kita mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri, namun kita tidak boleh mengangkat sumpah selagi keputusan rasmi belum diterima. Keputusan rasmi diterima sekitar jam 2.40 pagi dan selepas itu barulah upacara angkat sumpah dilaksanakan. Tiada perkembangan tidak sihat atau perkara luar biasa seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.
Suara TV : Pembentukan kabinet di Sabah bukan perkara mudah kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk parti, kaum dan daerah. Bagaimana Datuk Seri mengimbangi semua pertimbangan ini?
Datuk Seri Hajiji Noor : Politik mempunyai pelbagai kemungkinan dan di Sabah kita perlu mengambil kira kepelbagaian etnik dan kaum yang begitu ramai. Sabah mempunyai lebih daripada 30 suku kaum dan sensitiviti setiap kaum perlu diambil kira dalam pembentukan kerajaan. Walaupun Sabah hanya mempunyai 11 menteri termasuk Ketua Menteri dan tidak semua pihak dapat diberikan jawatan, perkara paling penting ialah memastikan keadilan kepada semua kaum tanpa mengira keturunan, agama dan latar belakang. Itulah wajah sebenar Sabah sejak dahulu lagi. Walaupun persaingan politik sangat sengit, selepas pilihan raya rakyat Sabah kembali hidup dalam suasana harmoni tanpa pergaduhan yang boleh menjejaskan perpaduan kaum.
Suara TV : Datuk Seri memperkenalkan gagasan Sabah Maju Jaya sebagai hala tuju pembangunan negeri. Apakah idea besar di sebalik gagasan tersebut?
Datuk Seri Hajiji Noor : Ketika saya mengambil alih tampuk kerajaan pada penghujung September 2020, Sabah sedang berdepan pandemik COVID-19 yang sangat mencabar. Aktiviti ekonomi terhenti, hotel dan premis perniagaan ditutup dan ramai rakyat kehilangan pekerjaan, khususnya mereka yang bekerja secara harian. Pada masa sama, terdapat juga ketidakstabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan. Selepas beberapa bulan mengambil alih pentadbiran, saya merasakan perlu ada satu hala tuju kerajaan negeri untuk memulihkan ekonomi selepas pandemik. Pada Mac 2021, saya memperkenalkan hala tuju Sabah Maju Jaya yang diambil daripada cogan kata negeri yang telah lama wujud sejak awal kemerdekaan lagi. Saya mahu memperkasakan semula semangat Sabah Maju Jaya supaya rakyat Sabah mempunyai keinginan untuk maju dan bersama-sama membangunkan negeri ini tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Suara TV : Apakah fokus utama dalam pelaksanaan Sabah Maju Jaya?
Datuk Seri Hajiji Noor : Fokus utama Sabah Maju Jaya melibatkan pembangunan ekonomi melalui sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan. Selain itu, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan modal insan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat. Dalam masa sama, kita juga memberi tumpuan kepada jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau. Ketika saya mengambil alih pentadbiran, Sabah berdepan masalah bekalan air, paip bocor dan kadar kehilangan air tidak berhasil yang tertinggi di Malaysia. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu menyelesaikan masalah tersebut walaupun ia merupakan masalah yang diwarisi sejak sekian lama.
Suara TV : Walaupun hasil negeri meningkat, rakyat masih mempersoalkan isu asas seperti bekalan air dan jalan raya. Bagaimana kerajaan memastikan kejayaan ekonomi ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat?
Datuk Seri Hajiji Noor : Untuk makluman, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM1.2 bilion bagi pelbagai projek berkaitan bekalan air yang sedang dilaksanakan. Antaranya termasuk penaiktarafan loji air di Papar bernilai RM380 juta dan projek di Tawau yang bernilai hampir RM400 juta. Selain itu, Perdana Menteri turut meluluskan RM300 juta bagi menaik taraf loji-loji air di seluruh Sabah. Kerajaan negeri juga membelanjakan ratusan juta ringgit untuk menggantikan paip yang rosak di beberapa daerah seperti Ranau, Beluran, Kudat dan Pulau Banggi. Kita berharap rakyat memberikan ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan semua projek ini.
Suara TV : Kerajaan negeri juga dilihat banyak memberi bantuan kepada rakyat khususnya dalam bidang pendidikan. Boleh Datuk Seri jelaskan?
Datuk Seri Hajiji Noor : Sebelum ini peruntukan biasiswa kerajaan negeri hanya sekitar RM40 hingga RM50 juta, namun kini meningkat sehingga RM140 juta. Dalam tempoh empat tahun lalu, lebih 17,000 pelajar Sabah menerima biasiswa dan pinjaman pendidikan, tidak termasuk bantuan daripada Yayasan Sabah. Selain itu, kerajaan turut membantu rakyat dalam kategori miskin melalui bantuan bulanan dan pelbagai bantuan pendidikan. Pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung turut menerima subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 untuk pulang semasa musim perayaan.
Suara TV : Ada rakyat Sabah yang sering membandingkan Sabah dengan Sarawak dan mahu Sabah menjadi seperti Sarawak. Apa pandangan Datuk Seri mengenai perkara ini?
Datuk Seri Hajiji Noor : Kita tidak boleh membandingkan Sabah dengan Sarawak kerana kedua-dua negeri mempunyai situasi politik dan pentadbiran yang berbeza. Bagi saya, Sabah perlu mempunyai pendekatan tersendiri berdasarkan realiti politik dan masyarakat di negeri ini. Apa yang penting ialah kerajaan negeri perlu mempunyai hubungan yang baik dan rapat dengan kerajaan Persekutuan demi memastikan Sabah terus maju.
Suara TV : Apakah sektor utama yang akan menjadi pemacu ekonomi Sabah dalam tempoh lima tahun akan datang?
Datuk Seri Hajiji Noor : Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, pertanian dan perindustrian. Selain itu, kerajaan negeri kini memberi fokus kepada ekonomi biru sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi. Sabah dikelilingi Laut China Selatan dan Laut Sulu yang kaya dengan sumber marin. Dalam ekonomi biru ini terdapat pelbagai industri yang boleh dibangunkan di Sabah dan kerajaan negeri juga telah meluluskan penubuhan taman perindustrian ekonomi biru di Kudat bagi menarik lebih banyak pelaburan.
Suara TV : Pembangkang sering mendesak kerajaan negeri supaya lebih tegas terhadap Putrajaya dalam mempertahankan hak Sabah. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?
Datuk Seri Hajiji Noor : Saya tidak percaya kepada pendekatan konfrontasi dengan kerajaan Persekutuan kerana pengalaman lalu menunjukkan ia tidak membawa manfaat kepada negeri. Pendekatan saya ialah berbincang secara baik dan profesional demi memastikan kepentingan Sabah terus dipertahankan. Dalam pelbagai forum bersama Perdana Menteri, saya tetap menyuarakan hak dan kepentingan Sabah termasuk berkaitan MA63.
Suara TV : Berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah, apakah jaminan Datuk Seri bahawa hak Sabah tidak akan dikompromi?
Datuk Seri Hajiji Noor : Semua pihak di Sabah mahukan tuntutan 40 peratus hasil ini dilaksanakan kerana ia termaktub dalam perjanjian. Namun proses perundingan dan perundangan masih berjalan. Kita juga perlu menghormati proses mahkamah termasuk rayuan dan sebagainya. Saya yakin kerajaan Persekutuan akan menunaikan tanggungjawab tersebut mengikut kemampuan kewangan negara.
Suara TV : Akhir sekali Datuk Seri, apakah harapan Datuk Seri untuk Sabah dalam tempoh lima tahun akan datang?
Datuk Seri Hajiji Noor : Jika kita mahukan kejayaan dan kemakmuran, perkara paling penting ialah perpaduan dan kestabilan politik. Saya berharap rakyat terus memberi kepercayaan kepada kerajaan dan semua pihak termasuk pembangkang dapat memainkan peranan secara positif demi memastikan Sabah terus maju ke hadapan. Sabah memerlukan perpaduan tanpa mengira fahaman politik dan agama supaya negeri ini terus aman dan membangun



