‘Tiada tawaran, duduk rumah baca al-Quran’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Meskipun tiada undangan nyanyian diterima pada Ramadan, vokalis kumpulan Spring, Ameng tetap bersyukur diberikan lebih ruang untuk menumpukan ibadah.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail berkata, Ramadan adalah masa untuk fokus dengan ibadah selepas beberapa bulan sibuk dengan tuntutan kerja seni.

“Dalam setahun, ada 12 bulan, jadi apa salahnya meluangkan masa selama sebulan untuk beribadah. Buat apa yang mahu kejar semuanya dalam bulan ini, sebab sebelum ini sudah sibuk bekerja.

“Jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang dan mahu sempurnakan ibadah saya sebaik yang boleh. Saya sendiri sememangnya merancang dari awal untuk fokus pada ibadah puasa, dari solat subuh di masjid, membaca al-Quran, terawih dan sebagainya.

“Sebab itu, tak mengapa jika tiada ‘job’ bulan ini sebab boleh fokus dengan ibadah.

“Jika ada tawaran menghadiri majlis iftar saya mahu tengok bagaimana dahulu. Sebab menyanyi ketika berbuka puasa, tidak seronok pula. Nak menyanyi ketika orang lain berseronok terawih, lagi tak seronok,” katanya kepada BH Online.

Justeru, Ameng berkata, dia tidak bersungguh-sungguh mencari tawaran kerja dalam bulan puasa, meskipun tidak menafikan pendapatannya agak terjejas selepas sekian lama tidak bekerja.

“Memang pendapatan terjejas, jadi saya berjimat cermat sahaja. Saya pun ada simpanan sedikit, jadi saya bertahan menggunakan simpanan,” katanya.

 

Ameng tidak kisah kurang tawaran kerja pada bulan Ramadan demi memberi fokus pada ibadah.
Ameng tidak kisah kurang tawaran kerja pada bulan Ramadan demi memberi fokus pada ibadah.

 

Kongsi Ameng, dia tidak menafikan tawaran kerja tidak banyak sejak industri kreatif dibenarkan beroperasi sekitar hujung tahun lalu.

“Saya belum menerima tawaran menyanyi meskipun penyanyi lain banyak menerima tawaran menjayakan showcase seperti kita boleh tengok. Ada konsert Datuk Jamal Abdillah, Zamani, Awie dan sebagainya.

“Tetapi, saya belum dipanggil, cuma saya ada tawaran menjayakan program Hiburan Minggu Ini terbitan RTM, tetapi dibatalkan berikutan salah seorang anggota Spring positif COVID-19.

“Jadi mungkin akan dibuat selepas Aidilfitri nanti. Jujurnya, saya hanya menerima satu hingga dua undangan selepas industri kreatif dibenarkan kembali beroperasi.

“Itu pun menghadiri forum di masjid. Tetapi, tidak mengapalah, saya duduk di rumah sahaja baca al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, Ameng berkata, dia tidak rasa terkilan apabila kurang tawaran kerja diberikan padanya.

“Saya tidak terkilan sebab mungkin belum giliran saya untuk dipanggil. Katakanlah, mereka menjemput penyanyi itu, takkanlah tahun depan penyanyi itu lagi.

“Jadi, mungkin tahun depan mengundang saya pula. Sekarang, saya tunggu sahajalah bila tiba giliran, saya menyanyilah. Sebab sudah menyanyi selama 30 tahun, jadi saya sudah tahu aturannya bagaimana,” katanya.

Namun, tambah Ameng, dia bersyukur menerima beberapa undangan nyanyian untuk rumah terbuka sempena Aidilfitri nanti.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,601FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat