Masa depan Ismail Sabri sebagai PM terikat RUU Anti Lompat Parti – Hassan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terikat dengan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sedang hangat dibincangkan ketika ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, akta berkenaan sekiranya diluluskan akan memberi lebih kuasa kepada kerajaan dan juga ketua kerajaan iaitu Perdana Menteri sendiri.

Memetik Utusan Malaysia Hassan berkata, sekiranya akta berkenaan tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, boleh ditafsirkan sebagai Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Jika kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga sekiranya pengundian dijalankan, ia bermakna kerajaan Perdana Menteri kalah di Parlimen dalam pengundian perkara penting berhubung dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bukan kalah sebarang kalah, kalah semacam ini membawa tafsiran Ismail Sabri hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat sekiranya jumlah undi yang menyokong RUU Pindaan Perlembagaan itu kurang daripada 112 sokongan.

“Jika itu yang terjadi, maka suatu krisis Perlembagaan berlaku yang boleh membawa secara konvensyen Perdana Menteri wajar meletak jawatan dan terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihatkan Baginda supaya membubarkan Parlimen di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya Johor pada Isnin.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, pindaan itu akan turut menyentuh Perkara 10 berhubung kebebasan berpersatuan yang ditafsirkan kebebasan menganggotai mana-mana parti politik.

“Maka persoalannya adakah semua Ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan dan pembangkang akan sokong RUU Pindaan Perlembagaan tersebut tanpa RUU Anti Lompat Parti dibentangkan sama. Saya rasa sukar mereka menyokong RUU pindaan tersebut yang memberi kuasa amat luas kepada kerajaan.

“Oleh itu, Ahli Parlimen berhak meneliti RUU Anti-Lompat Parti terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan sebarang pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, terutama sekali yang melibatkan perkara asas kebebasan berpolitik rakyat,” ujarnya.

Kata Hassan, Ahli-Ahli Parlimen akan lebih selesa dan terjamin jika sebarang perkara asas berhubung tafsiran lompat parti dimasukkan dalam pindaan perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga dan bukan sekadar dimuatkan dalam RUU Anti Lompat Parti yang merupakan akta biasa yang hanya memerlukan kelulusan majoriti mudah di Parlimen.

“Dalam bahasa mudah, Ahli-Ahli Parlimen tidak mahu beri cek kosong kepada kerajaan yang memerintah. Oleh itu, Perdana Menteri wajar umum satu tarikh tidak sampai tiga minggu dari sekarang bahawa kerajaan berakujanji akan bentang RUU Anti Lompat Parti bersekali RUU Pindaan Perlembagaan untuk bacaan kali kedua bagi dibahaskan dan diputuskan melalui undi.

“Pada jangkaan saya, waktu itu di pihak kerajaan dan semua Ahli Parlimen sudah bersedia. Rasanya jalan penyelesaian ini boleh diterima oleh kebanyakan pihak di blok kerajaan dan pembangkang dan kedudukan Perdana Menteri lebih selamat daripada serangan dan ugutan kluster mahkamah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,604FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat