‘Saya tak akan pindah, yakin rakyat Malaysia sokong perjuangan’ – Cikgu Chandra

KUALA LUMPUR – “Saya tidak akan berpindah ke mana-mana dan tidak akan melarikan diri dari kawasan ini. Saya percaya hampir keseluruhan rakyat Malaysia sedang menyokong perjuangan ini,” kata aktivis S Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra.

Beliau tetap tidak akan berhenti bersuara walaupun kediamannya diceroboh dan kereta dibakar dan berdepan insiden serangan dan ugutan yang berlaku baru-baru ini, lapor BH di Serdang pada Rabu.

Chandra berkata, kejadian itu tidak melemahkan semangatnya malah menguatkan lagi tekad untuk terus memperjuangkan isu-isu membabitkan pencerobohan tanah dan gangsterism yang memberi kesan kepada masyarakat.

“Saya kini berada dalam keadaan baik dan mendapat sokongan kuat daripada keluarga dan orang ramai.

“Ramai pihak memberikan sokongan kepada saya. Ada juga pihak media yang menghubungi dan bertanya sama ada saya akan berhenti selepas insiden ini.

“Jawapan saya jelas, tidak. Insiden ini sebaliknya menaikkan lagi semangat saya untuk terus bersuara,” katanya menurut akhbar itu.

Beliau berkata, dirinya tidak akan gentar dengan sebarang ugutan serta tidak bercadang meninggalkan kawasan tempat tinggalnya.

“Saya tidak akan berpindah ke mana-mana dan tidak akan melarikan diri dari kawasan ini,” katanya.

Dua laporan polis diterima berhubung insiden khianat serta ugutan jenayah membabitkan Cikgu Chandra di perumahan Taman Kinrara, Puchong dekat sini pada 9 Mac lalu dan semalam.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, bagi insiden pertama siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta ugutan jenayah.

Bagi insiden kedua pula, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan berhubung kejadian khianat dengan api yang membabitkan kenderaan di lokasi sama.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat