Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Bagi membanteras penjualan spesies ikan larangan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) berhasil menyita dan merampas pelbagai spesies ikan larangan dianggarkan keseluruhannya bernilai RM35,674 dalam Operasi Bersepadu di sekitar Jalan Pudu, dekat sini baru-baru ini.
Turut menyertai operasi, Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM); Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pengarah Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, Suhanah Kassiron berkata operasi berskala besar ini bertujuan untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap permit pemilikan spesies ikan larangan serta memastikan semua premis mematuhi syarat pelesenan aktiviti akuakultur.
Suhanah berkata bertindak atas risikan dan aduan awam, seramai 42 orang anggota penguat kuasa telah melakukan pemeriksaan mengejut ke atas beberapa premis ikan hiasan dan pasar di kawasan tersebut.
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan selaras dengan punca kuasa di bawah Akta Perikanan 1985 [Akta 317]; dan
Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, dsb., bagi Ikan) 1990 (Pindaan
2024).
Selain itu, Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) W.P. Kuala Lumpur & W.P. Labuan 2017; dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
“Pihak DOF telah menyita pelbagai spesies ikan larangan termasuk Arapaima, Sturgeon, Midas, Peacock bass, udang kara Cambaridae, Baung Ekor Merah Amazon, Pacu dan Flowerhorn.
“Spesies ini dilarang kerana sifatnya yang invasif dan berisiko tinggi menjejaskan biodiversiti perairan serta menggugat populasi ikan asli tempatan sekiranya terlepas ke perairan.
“Kesemua ikan yang disita akan ditempatkan di Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor, KLIA bagi tujuan tindakan lanjut,”katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, kesemua enam premis yang diserbu telah melakukan kesalahan
dibawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) W.P. Kuala Lumpur & W.P. Labuan 2017 kerana tidak mempunyai permit dan lesen untuk menjalankan aktiviti akuakultur.
“Operasi ini bukan sahaja membanteras aktiviti tidak sah, malah memperkukuh sinergi strategik antara DOF dan PDRM melalui penglibatan WCB dalam menangani jenayah melibatkan hidupan akuatik.
“Kerjasama bersama Wildlife Crime Bureau PDRM membolehkan tindakan diambil secara lebih menyeluruh.
“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis yang mempamer atau
menjual spesies larangan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan,”ujarnya.
Suhanah menegaskan, pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000, atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan.
Tambahnya, operasi ini menunjukkan komitmen DOF dalam meningkatkan tahap kepatuhan premis serta memperkukuh kawalan terhadap peredaran spesies asing demi melindungi ekosistem perairan serta menjamin kelestarian sumber perikanan negara.
“Orang awam dan pengusaha premis dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada Pejabat Perikanan terdekat sebelum memiliki atau memperdagangkan spesies ikan asing bagi mengelakkan tindakan undang-undang, ”tambahnya lagi. – SUARA.TV



