“Tunggu esok, sama ada PM-9 sudah boleh dirakam percakapan oleh SPRM”

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Doktor yang merawat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak dapat mengesahkan tahap kesihatan bekas Perdana Menteri ke-9 itu, sama ada sudah boleh dirakamkan percakapannya atau tidak selepas cuti sakit tamat esok.

BH melaporkan menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini sudah merakam keterangan doktor terbabit bagi membantu siasatan.

“Hasil rakaman percakapan doktor itu, beliau tidak dapat mengesahkan mengenai keadaan kesihatan bekas perdana menteri itu selepas cuti sakitnya habis esok.

“Sekiranya beliau (Ismail Sabri), sihat, keterangan percakapan boleh diambil oleh SPRM,” katanya memetik akhbar itu pada Selasa.

Sumber berkata, setakat ini sebanyak 13 akaun bank sudah dibekukan bagi membantu siasatan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan SPRM sudah merekodkan keterangan 36 individu dalam siasatan terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kata sumber lagi, seramai 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini sudah dirakam percakapan setakat semalam.

“Sementara itu, seramai 23 saksi baharu akan dipanggil dalam masa terdekat ini untuk dirakam keterangan,” katanya.

Jumaat lalu, pegawai penyiasat SPRM menemubual seorang doktor bergelar Datuk di sebuah hospital di Petaling Jaya yang merawat Ismail Sabri bagi mengetahui sejauh mana tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.

Ismail Sabri sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada Jumaat lalu namun beliau tidak akan berbuat kemudian kerana dikatakan masih tidak cergas untuk berbuat demikian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, proses rakaman percakapan itu ditunda Rabu ini kerana masih diberikan sijil cuti sakit (MC).

Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri sudah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lepas.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM dilaporkan menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa, antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat