Tiada sebarang syarat dikenakan kepada Saddiq dapat peruntukan – Fadillah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan, tidak mengenakan syarat kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas kerajaan bersedia mempertimbang permohonan Ahli Parlimen Muar itu untuk menyalurkan peruntukan buat kawasannya.

Fadillah mendedahkan pertimbangan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklum balas mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang dihantar kepada bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Dalam maklum balas itu, beliau turut mendedahkan yang Syed Saddiq ada memberi cadangan balas terhadap MoU berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan mengenai cadangan balas berkenaan.

“Tak ada syarat. Dia (Syed Saddiq) respon dan memberi cadangan balas kepada MoU yang kita hantar,” lapor BH pada Selasa.

Menurut laporan Sabtu lalu, Fadillah memaklumkan yang pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan draf perjanjian dengan Syed Saddiq.

Hal ini selepas Syed Saddiq bersetuju dengan beberapa syarat yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

Untuk itu, bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Muda (MUDA) itu dijangka menerima peruntukan bagi kawasan Parlimennya berikutan kesediaan kerajaan mempertimbangkan permohonannya.

Ketika dihubungi, Syed Saddiq berkata, antara cadangan balas yang dikemukakan kepada pihak kerajaan ialah berkait soal penambahbaikan dasar.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana bimbang ia akan menganggu proses rundingan terbabit selain menghormati tindakan Fadillah yang tidak mahu mendedahkan perkara itu.

“Berhubung cadangan balas, antaranya saya ada suarakan saranan untuk menambah baik dasar. Yang lain biarkan dahulu kerana saya tidak mahu langkau Timbalan Perdana Menteri (Fadillah),” katanya.

Syed Saddiq sebelum ini turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Fadillah sambil berharap akan ada pengakhiran baik mendapatkan peruntukan untuk kawasan Parlimennya.

Media sebelum ini melaporkan Fadillah menggesa Ahli Parlimen pembangkang tampil mengemukakan cadangan terlebih dulu bagi membolehkan jawatankuasa pengagihan peruntukan ditubuhkan.

Fadillah berkata, penubuhan jawatankuasa khas penting bagi menyelesaikan isu berkaitan agihan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang secara lebih konsensus dan menyeluruh.

Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mengumumkan menolak draf MoU daripada kerajaan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang kerana mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Pembangkang kononnya mendakwa, cadangan MoU itu juga bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Setakat ini, pihak pembangkang masih belum memberi maklum balas kecuali Syed Saddiq.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat