Bukan Israel kuat tapi negara Arab, umat Islam tak bersungguh pertahan Palestin- Mat Sabu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kekuatan dan kekejaman Israel bukanlah masalah utama sebaliknya isu sebenar ialah negara-negara Arab dan umat Islam tidak bersungguh-sungguh dalam menyokong perjuangan Palestin.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, siapa sebenarnya yang benar-benar peduli terhadap rakyat Palestin? Kebanyakannya hanyalah negara miskin atau negara yang dikenakan sekatan ekonomi, seperti Iran, Iraq, Yaman, dan beberapa kumpulan tertentu.

“Kekuatan dan kekejaman Israel bukanlah masalah utama.

“Isu yang lebih besar ialah kelemahan negara-negara Arab.

“Ketika rakyat Palestin menderita di Gaza, ada negara Arab yang masih menjalinkan hubungan perniagaan dengan Israel, malah ada juga negara NATO yang bermajoriti Muslim membekalkan minyak kepada Israel,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, kezaliman Israel, terutamanya mereka yang berpegang kepada Zionisme, telah berlaku sejak sekian lama.

Ujarnya, disebabkan itu, mereka sering diusir dari satu tempat ke tempat yang lain.

“Mereka pernah menderita dengan teruk, termasuk semasa Holocaust di Eropah.Namun, Yahudi Zionis berjaya mengumpul kekuatan dan meyakinkan negara-negara Eropah serta Amerika untuk menyokong mereka. Akhirnya, mereka memperoleh tanah untuk membina negara sendiri, Israel, di Palestin, yang secara rasmi diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1948.

“Tetapi sesuatu yang pelik berlaku. Palestin tidak pernah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap Yahudi, jadi mengapa rakyat Palestin kini berdepan dengan pembunuhan beramai-ramai oleh Yahudi Zionis?

“Yahudi Zionis kemudiannya meluaskan wilayah mereka melalui peperangan pada tahun 1956, 1967, 1973, dan 1982 dengan sokongan negara-negara berkuasa seperti Amerika dan Eropah,” katanya.

Menurut Mat Sabu, isunya bukan kekuatan Israel semata-mata. Masalah sebenar ialah negara-negara Arab dan umat Islam tidak bersungguh-sungguh dalam menyokong perjuangan Palestin.

“Lihat sahaja apa yang berlaku pada 7 Oktober 2023. Israel menyerang rakyat di Gaza dan Tebing Barat dengan kejam, membunuh kira-kira 50,000 orang, termasuk kanak-kanak, wanita, dan warga tua, serta mencederakan lebih 100,000 orang lagi.

“Dalam masa yang sama, Amerika dan negara-negara Eropah tetap menyokong Israel dengan kuat, malah sanggup mengabaikan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semata-mata untuk melindungi Israel. Masalah sebenar ialah kurangnya kesatuan dalam kalangan umat Islam, khususnya negara-negara Arab, dalam menyokong Palestin.

“Donald Trump mungkin mendakwa Gaza sebagai milik Amerika kerana negara itu telah membelanjakan berbilion dolar untuk menyokong Israel. Malangnya, tiada negara Muslim atau Arab yang membelanjakan berbilion dolar untuk membantu Palestin.

“Kita boleh lihat bahawa negara Arab sanggup berbelanja berbilion dolar untuk menjatuhkan Bashar Assad dengan bekerjasama dengan kumpulan pemberontak. Malah, Hillary Clinton sendiri mengakui bahawa AS telah membiayai ISIS. Dan apakah hasilnya? Kini, perjuangan Palestin menjadi lebih sukar kerana mereka tidak lagi boleh bergantung kepada Syria. Sementara itu, projek ‘Israel Raya’ semakin hampir menjadi kenyataan,” kata beliau.

Namun menurut belaiu, sejak kebelakangan ini, rakyat di Eropah mula menunjukkan simpati terhadap Palestin. Protes besar-besaran di Eropah telah menyebabkan beberapa negara mula mempertimbangkan semula pendirian mereka, sama ada menyokong penyelesaian dua negara atau sekurang-kurangnya mendesak agar keganasan dan pembunuhan beramai-ramai di Palestin dihentikan.

“Namun, negara-negara Muslim dan Arab masih keliru tentang arah tuju mereka.Jadi, daripada terus-menerus menekankan kezaliman Israel dan sokongan Amerika, kita sepatutnya terus bertanya: Di manakah kesatuan umat Islam, terutamanya melalui organisasi seperti OIC, Liga Arab, dan negara-negara majoriti Muslim lain, dalam menyokong Palestin?

“Saya amat yakin rakyat Palestin akan berjaya mendapatkan kembali tanah air mereka dan hak mereka untuk pulang ke tanah kelahiran mereka, hasil daripada kesedaran yang semakin meningkat serta kesatuan dalam kalangan umat Islam dan masyarakat dunia.

“Marilah kita terus menyokong perjuangan rakyat Palestin,” seru beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat