KUALA LUMPUR – Datuk Dr Akmal Saleh kurang berpuas hati dengan tindakan individu-individu yang menghina Islam kemudian hanya meminta maaf.
Justeru Ketua Pemuda Umno itu menuntut pemilik akaun Facebook “Vijayan Savarinathan” membuat permohonan maaf di masjid.
“Cukup-cukuplah lah dengan budaya hina dulu baru minta maaf. Dah hina agama kami,semudah itu sahaja minta maaf?
“Kami mendesak kerajaan agar tindakan yang sangat tegas perlu dikenakan kepada individu ini.
“Undang-undang bukan hanya untuk sesetengah golongan sahaja,ia perlu dikenakan kepada semua tanpa mengira bangsa,mahupun fahaman politik.
“Bawa dia ni ke masjid untuk minta maaf juga,” desak Akmal.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan keberadaan ahli-ahli politik yang sebelum ini lantang mengkritik tiga penyampai radio Era FM.
“Mana pergi ahli politik yang bukan main dulu marah tiga orang DJ era dahulu?
“Yang ini pun wajib kamu marah dan bantah,” bidas Exco Melaka itu lagi.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki yang didakwa menghina Islam dalam satu video tular telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Dalam video yang dimuat naik ke Facebook hari ini, individu yang mendakwa dirinya Vijayan Savarinathan mengakui bahawa dia telah melakukan kesilapan besar.
“Saya memohon maaf dengan setulus hati. Apa yang saya lakukan dan katakan adalah sangat tidak wajar,” katanya dalam video yang dimuat naik di akaun Facebook “Vijayan Savarinathan”.
Beliau menjelaskan bahawa tindakannya dipengaruhi oleh kemarahan selepas melihat satu video yang memaparkan penyampai radio memperlekehkan ritual kavadi ketika perayaan Thaipusam.
“Saya berasa marah dan tidak dapat menahan diri kerana kami (penganut Hindu) dihina, tetapi itu bukan alasan untuk saya membuat video seperti itu.”
Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, memaklumkan bahawa pihak berkuasa sedang mengenal pasti individu di sebalik akaun Facebook “Vijayan Savarinathan”, yang dipercayai berada di luar negara.
Beliau menegaskan bahawa kes tersebut sedang disiasat di bawah kesalahan jenayah kerana mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
Menurut Razarudin, video yang dimuat naik oleh Vijayan mungkin merupakan tindak balas terhadap satu lagi video yang memaparkan tiga penyampai radio dikatakan menghina ritual kavadi, sehingga mencetuskan kontroversi.