KUALA LUMPUR- Kunjungan rombongan guru dan alim ulamak dari pondok dan madrasah Kelantan ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) sangat dihargai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau sangat berbesar hati menerima pandangan dan nasihat yang disampaikan oleh para tuan guru, terutama dalam soal pendidikan turath serta cadangan untuk memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia.
Perdana Menteri memaklumkan, dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang, serta menghindari kebencian.
“Pagi tadi saya berbesar hati menerima kunjungan rombongan tuan-tuan guru dan alim ulama dari pondok serta madrasah di Kelantan di Pejabat Perdana Menteri. Jemputan ini saya sampaikan sendiri setelah mereka menghadiri majlis iftar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya semalam.
“Saya turut mendengar dengan sepenuh perhatian saranan agar usaha penjelasan mengenai inisiatif Kerajaan Madani dalam memperkukuh Islam dapat dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh.
“Pertemuan ini membuka ruang yang bermakna untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu, khususnya berkaitan perkembangan Islam dan pembangunan ummah. Saya tekankan betapa pentingnya kita memperkukuh dasar Islam dalam pendidikan, serta beberapa ikhtiar kerajaan dalam membina kekuatan dalaman umat Islam,” kata Anwar dalam kenyataan pada Selasa.
Selain itu katanya, dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang, serta menghindari kebencian.
“Kami sependapat bahawa dalam banyak perkara, titik persamaan itu lebih besar daripada perbezaan.
“Dalam ruang yang sama, saya turut menekankan tentang perkembangan komunikasi serta kerjasama yang semakin erat dengan Menteri Besar Kelantan.
“Saya berharap pertemuan sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia menjadi wahana yang sangat bernilai dalam merangka usaha bersama demi kemaslahatan umat dan negara. Buah fikiran dan nasihat para tuan guru amat saya hargai, dan saya percaya ia terpancar dari keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya,” ujar Perdana Menteri lagi.