Oleh Zihan Zari
IPOH – Pemuda Gema dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Politeknik Ungku Omar (PUO) telah menganjurkan program berimpak tinggi, My Save Food @ Bazar Ramadan telah berlangsung selama tiga hari dekat sini, baru-baru ini.
PUO dalam kenyataannya berkata program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga dan pelajar mengenai pembaziran makanan berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, objektif utama program ini adalah untuk mengurangkan pembaziran makanan di bazar Ramadan, dan membantu pelajar yang memerlukan dengan menyediakan makanan berbuka secara percuma.
Selain itu, memupuk amalan pengurusan makanan yang lebih berhemah dalam kalangan peniaga dan masyarakat.
Menurutnya lagi, program ini juga berperanan dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kebersihan dan pengurusan sisa makanan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih lestari.
“Melalui inisiatif ini, makanan dan minuman yang tidak habis dijual di bazar Ramadan dikumpulkan dalam dua sesi, iaitu pada pukul 7.15 malam dan 7.35 malam, sebelum disalurkan kepada pelajar yang memerlukan, khususnya dalam kalangan pelajar asnaf.
“Pada hari pertama, jumlah makanan dan minuman yang berjaya dikumpulkan ialah 8.34 kilogram (kg) makanan dan 8.6 kg minuman dan kemudiannya diagihkan pula kepada pelajar yang kurang berkemampuan, ”katanya.
Menariknya, pada hari kedua, jumlah lebihan makanan berkurangan kepada 2.53 kg makanan dan 3.1 kg minuman.
“Ini menunjukkan kesedaran peniaga terhadap kepentingan mengurangkan pembaziran semakin meningkat, ”katanya lagi.
Yang Dipertua JPP PUO, Muhd Bazli berkata program ini bukan sahaja membantu pelajar yang memerlukan, malah memberi kesedaran kepada peniaga tentang pengurusan makanan dan kepentingan menjaga kebersihan bazar.
“Saya melihat kegembiraan di wajah pelajar yang menerima makanan hasil program ini.
“Ia bukan sekadar mengurangkan pembaziran, malah membentuk sikap lebih prihatin dalam kalangan peniaga dan masyarakat sekitar,” ujarnya .
“Diharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan matlamat mengurangkan pembaziran makanan dan membantu golongan yang memerlukan terus dicapai, ”ujarnya lagi.
JPP PUO turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Pemuda Gema atas kerjasama dalam menjayakan program ini.-SUARA.TV