Mahkamah Paris batal sepenuhnya tuntutan waris Kesultanan Sulu, perintah bayar Malaysia RM957,000

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan Paris telah membatalkan sepenuhnya keputusan berkaitan Final Award atau Anugerah Akhir bernilai AS$14.9 bilion yang difailkan oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu pada 28 Februari 2022.

Sekretariat Khas Kerajaan bagi kes tuntutan Sulu berkata, mahkamah turut mengarahkan pihak yang didakwa sebagai penuntut Sulu membayar kos sebanyak EUR 200,000 (RM957,000) kepada Malaysia.

“Kerajaan Malaysia menerima penghakiman tersebut pada lewat malam tadi. Dalam keputusan itu, mahkamah menegaskan bahawa Gonzalo Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan Anugerah Akhir tersebut kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia.

“Justeru itu, mahkamah membatalkan sepenuhnya Anugerah Akhir yang didakwa itu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Sekretariat Khas Kerajaan, Malaysia yakin keputusan ini akan menamatkan semua cubaan tidak berasas pihak yang didakwa sebagai penuntut Sulu termasuk firma litigasi berpangkalan di London, Therium untuk memeras wang dan aset daripada rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, Malaysia tetap bersedia meneruskan pembelaan di mana-mana mahkamah jika dipanggil oleh pihak berkenaan.

“Kerajaan Malaysia menegaskan sekali lagi komitmen tidak berbelah bahagi untuk mempertahankan kedaulatan, kekebalan dan kepentingan negara terhadap tuntutan tidak berasas yang dibuat dalam penipuan Sulu,” katanya.

Pada 6 Jun 2023, Mahkamah Rayuan Paris telah menolak pengiktirafan dan pelaksanaan Partial Award atau Anugerah Sebahagian yang dikeluarkan oleh Stampa pada 25 Mei 2020 atas alasan yang sama.

Seterusnya, pada 6 November 2024, Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran yang difailkan pihak yang didakwa sebagai penuntut Sulu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris.

Sebelum ini, lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud telah memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion dolar daripada Malaysia berhubung isu membabitkan Sabah dan pada Mac 2019, sebuah mahkamah di Madrid telah melantik Gonzalo sebagai penimbang tara bagi kes itu.

Pada 28 Februari 2022, Stampa membuat keputusan yang memihak kepada kumpulan itu dan mengeluarkan Anugerah Akhir sebanyak AS$14.9 bilion, namun ia merupakan hasil daripada timbang tara yang tidak sah kerana pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah dibatalkan terlebih dahulu oleh Mahkamah Sepanyol.

Pembatalan pelantikan kehakiman Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam kes Sulu dibuat Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid pada 2021.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat