KUALA LUMPUR – DAP didakwa bimbang malapetaka yang menimpa Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan berterusan hingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Tokoh Wartawan Negara ke-9 Datuk A Kadir Jasin berkata, DAP tahu ramai orang Cina akan tolak PH justeru mereka tidak mahu penolakan terhadap PH menjangkiti DAP.
“Sebagai penderita sakit tulang belakang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentu boleh merasa kesakitan akibat kata dua DAP itu.
“Tanpa DAP, Kerajaan Madani akan rebah. Tanpa DAP masa depan PH berjerebu,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Menurut A Kadir, beliau sebelum ini pernah menyifatkan DAP sebagai tulang belakang Kerajaan Madani.
Menurutnya, tanpa tulang belakang yang kuat, manusia dan haiwan akan sakit, cacat dan akhirnya mati, kecuali haiwan jenis “invertebrate” yang tidak ada tulang belakang.
“Pada 9 Disember, portal berita Malaysiakini memetik Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai berkata, jikalau Perdana Menteri, Anwar Ibrahim gagal melaksanakan reformasi yang bermakna dalam masa enam bulan akan datang, DAP akan memikirkan semula peranannya dalam kerajaan.
“Namun beliau segera menekankan yang ia tidaklah bermakna DAP akan menarik balik sokongan kepada Kerajaan Madani dan mencetuskan huru-hara politik.
“Loke tidak memberikan butir-butir penilaian semula tersebut, tetapi mungkin melibatkan penarikan diri daripada Kabinet dan berpindah ke barisan penyokong kerajaan. Loke bagaimanapun, memberi jaminan yang “DAP tidak akan membenarkan kerajaan ini jatuh sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.”
“Dalam perkembangan berasingan tetapi senada, portal Malaysian Gazette melaporkan yang Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, partinya akan berjumpa Anwar bagi meminta supaya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf. UEC adalah sijil prauniversiti untuk pelajar sekolah menengah persendirian Cina di Malaysia. Beliau juga mengulang pendirian DAP dalam usaha tersebut dan meminta masyarakat Cina supaya bersabar dan jangan khuatir,” ujar beliau.
Kata A Kadir lagi, nampaknya masyarakat Cina bukan sahaja tidak boleh bersabar lagi malah mereka juga dalam kekhuatiran.
“Hal ini disuarakan oleh Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang dilaporkan berkata, apa yang berlaku sekarang membebankan orang ramai. Katanya: “Saya menegaskan bahawa saya telah lama membangkitkan isu peluasan SST, e-invois dan cukai lain yang membebankan rakyat, jauh sebelum pilihan raya negeri Sabah. Sejak Disember 2024, saya telah sekurang-kurangnya tujuh kali menggesa kerajaan di Parlimen untuk menangguhkan dan mengkaji semula langkah-langkah ini, namun tidak diendahkan.”
“Tambahnya: “Keputusan PRN Sabah jelas menunjukkan rakyat tidak puas hati, dan saya sekali lagi menggesa Perdana Menteri untuk mempertimbangkan semula demi kepentingan rakyat dan masa depan kerajaan.”
“Sebagai parti utama masyarakat Cina, DAP lebih faham dan peduli mengenai ekonomi – makro dan mikro – kerana orang Cina adalah kaum peniaga. Mereka di barisan hadapan jatuh bangun ekonomi. Kalau orang Cina mengeluh dan merungut, itu bermakna ekonomi tidak berjalan seperti yang sepatutnya.
“Orang Melayu pun mengeluh juga tetapi mereka tidak begitu arif mengenai sebab musabab mengapa mereka terbeban sedangkan ekonomi diuar-uarkan sebagai kukuh dan berkembang pesat.
“DAP licik dan prihatin dalam strategi politik. Mereka tentunya amat bimbang malapetaka yang menimpa Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Sabah akan berterusan hingga PRU akan datang. Mereka tahu, ramai orang Cina akan tolak PH. Mereka tidak mahu penolakan terhadap PH menjangkiti DAP,” dakwanya.



