KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Umno Bagan Datuk, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, Umno Sabah sememangnya perlu reset dan semua antara kita perlu membaca realiti politik semasa Sabah dengan lebih jujur dan berani.
Anak Presiden Umno itu berpandangan, keputusan untuk melantik barisan kepimpinan baharu pasti telah dibuat melalui perkiraan yang mendalam, melalui prestasi lapangan, dinamika sekutu dan keberanian kepimpinan Umno Sabah untuk meneruskan legasi Allahyarham Bung Moktar Radin.
“Dalam landskap politik pasca-PRN, sentimentaliti semata-mata tidak lagi mencukupi. Yang diperlukan ialah kredibiliti, kebolehlaksanaan, dan kesediaan untuk berubah.
“Moving forward, fokus kepimpinan baharu tidak boleh kabur. Kinabatangan dan Lamag bukan sekadar kerusi, ia adalah simbol keupayaan Umno Sabah untuk bertahan, sebagai kubu Barisan Nasional (BN) di Sabah.
“Reset daripada kepimpinan pusat ini juga adalah mesej jelas bahawa Umno Sabah tidak perlu lagi terperangkap dalam politik reaktif. Sebaliknya, parti perlu bergerak sebagai organisasi yang berfikir ke hadapan, mengutamakan kestabilan dan kebajikan rakyat berbanding ego individu atau kelompok,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Nurulhidayah berkata lagi, PRK Kinabatangan, Lamag dan PRU akan datang adalah penentu kepada kerberkesanan barisan kepimpinan baharu politik Umno Sabah.
“Kesediaan akan bermula dengan keberanian untuk membuat keputusan yang tidak popular, tetapi perlu demi kelangsungan parti dan masa depan rakyat Sabah,” ujar beliau.
Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melantik Datuk Jafry Ariffin selaku Pengerusi Perhubungan Umno Sabah menggantikan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Zahid juga melantik Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah menggantikan posisi Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Manakala Setiausaha Perhubungan Umno Sabah kini ialah Samasuddin Yusop yang menggantikan Jafry.



