Kursus aliran bukan sains akan diubah bagi beri keterampilan kemahiran – Ahmad Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kursus-kursus dalam aliran bukan sains akan diubah bagi memberikan keterampilan kemahiran kepada pelajar universiti serta di institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), bersesuaian dengan keperluan pekerjaan pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu antara yang menjadi keutamaan kepada Kerajaan MADANI kerana melihat terdapat 1,344 institusi TVET di seluruh negara dengan 12 kementerian turut mengendalikan soal pendidikan itu.

“Untuk mahasiswa, apa yang diperlukan ialah kita akan merubah kursus-kursus yang diambil dalam liberal art atau aliran bukan sains untuk kita berikan keterampilan kemahiran, bukan sekadar kepada (pelajar) universiti malah juga (institusi) TVET lain seperti politeknik.

“Selain itu kita mempunyai Institut Kemahiran MARA bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan ini penting untuk memberikan peluang kepada pelajar dan bakal-bakal pekerja yang kita sebut sebagai guna tenaga penuh dalam negara,” kata beliau pada sesi dialog sempena penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Sesi itu turut disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dengan komitmen Perdana Menteri yang berada di tahap tinggi untuk melihat seluruh rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan yang baik, beliau yakin perancangan ke arah perubahan itu akan benar-benar dapat dicapai.

“Saya pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri sebanyak dua kali dan saya lihat Perdana Menteri (Anwar) ini berbeza dengan tiga orang Perdana Menteri sebelumnya.

“Untuk itu, dalam tempoh empat tahun mendatang jika rakyat terus bersatu dan semua menteri bekerja sebagai satu pasukan, saya amat yakin kestabilan politik bukan hanya dapt memacu pembangunan negara tetapi juga ekonomi dan peluang-peluang pekerjaan,” kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara.

Sementara itu, Fadillah berkata dalam memastikan kemahiran mereka selari dengan keperluan pekerjaan pada masa depan, para pelajar disarankan agar mengkaji setiap dasar dan inisiatif kementerian bagi memastikan mereka dapat melengkapkan diri dengan ilmu dan kepakaran terkini.

“Misalnya di sektor peladangan dan komoditi, peluang (pekerjaan) yang ada ialah berhubung kepakaran anak muda menggunakan automasi dan mekanisasi. Selain itu kepakaran dalam penghasilan baja yang bersifat mesra alam dan mampu milik agar boleh digunakan petani untuk meningkatkan produktiviti mereka.

“Inilah perkara yang diharapkan daripada generasi muda yang sedang menuntut ilmu di universiti agar mereka dapat meningkatkan kepakaran dan kemahiran demi masa depan negara,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat