KUALA LUMPUR – Datuk Ewon Benedick dengan rasminya telah mengemukakan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, hari ini.
Usai penyerahan surat letak jawatan itu, Ewon sekali gus mula menghabiskan baki cuti beliau sebagai Menteri bermula hari ini.
“Secara rasminya, saya sudah mengemukakan surat perletakan jawatan saya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pagi hari ini.
“Bermula hari ini juga, saya akan mula menghabiskan baki cuti yang ada.
“Petang ini saya akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO untuk membincangkan agenda “Sabah First” yang sentiasa menjadi asas perjuangan Parti UPKO selama ini sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Parti,” tulis beliau di Facebook pada Isnin.
Dua hari lalu, beredar spekulasi mengenai kedudukan Ewon dalam Kabinet.
Khabar angin itu terjawab selepas beliau mengesahkan akan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan dan perkara itu dimaklumkan sendiri Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu melalui satu hantaran di Facebook.
“Saya akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai anggota Kabinet Persekutuan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas ruang kebersamaan dalam Kabinet Persekutuan yang mana telah menjadi ruang untuk saya perjuangkan prinsip berkaitan dengan hak-hak Sabah,” katanya.
Peletakkan jawatan itu dipercayai berkait rapat dengan pegangannya kepada prinsip di dalam Perlembagaan UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ia merujuk penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid ke atas semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society.
Beliau berkata, pendirian dan pandangan dinyatakan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepertimana dinyatakan dalam penghakiman bertulis antaranya mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang mencakupi syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia, sepertimana dinyatakan melalui dokumen-dokumen asas Perlembagaan.
“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC tersebut. AGC merupakan penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.
“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka.
“Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO,” katanya.



