Kelantan enggan heret royalti petroleum ke mahkamah, percaya jaminan Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri kekal dengan pendirian untuk menyelesaikan tuntutan hak royalti petroleum secara diplomasi dan bukan menerusi mahkamah.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata sebelum ini kaedah perundangan sudah cuba dijalankan namun memandangkan tempoh yang sangat panjang untuk diselesaikan selain membabitkan kos tinggi, maka kaedah diplomasi dianggap jalan terbaik.

Beliau berkata, jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mempertimbangkan perkara itu menguatkan lagi pendirian kerajaan negeri untuk kekal dengan kaedah diplomasi.

“Pendirian kita adalah cuba buat secara diplomasi. Secara mahkamah kita sudah cuba, bukan kita kalah tapi ia mengambil masa sangat lama walaupun tidak dibicarakan.

“Apabila PM kata akan pertimbangkan, kita pegang yang itulah, maknanya sekarang mungkin PM nak pertimbangkan dan kalau bukan sekarang, kita tengok PM akan datang, boleh pertimbangkan atau tidak.

“Kalau duduk di mahkamah, makan masa dan kos semakin tinggi tapi keputusan tiada jadi mahkamah tu letak tepi dulu, kita buat secara perbincangan, itu lebih baik,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu, lapor BH di Kelantan pada Isnin.

Beliau diminta mengulas desakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang supaya membawa pertikaian terhadap keabsahan Akta Wilayah Laut 2012 ke Mahkamah Persekutuan dalam usaha menuntut hak royalti petroleum bagi negeri ini selepas isu itu ditimbulkan semula dalam persidangan DUN.

Fadzli berkata, pihaknya sentiasa bangkitkan mengenai isu terbabit kerana apa yang diperjuangkan adalah tuntutan royalti dan bukannya wang ehsan.

“Kita ingin ubah dari perkataan wang ehsan kepada royalti kerana royalti adalah hak kita dan ada jumlah tertentu manakala ehsan pula hak orang dan terpulang berapa nilai yang ingin diberi.

“Buat masa sekarang, kita terima la sebagai wang ehsan tapi perjuangan kita tetap inginkan royalti sebab kalau sebagai kerajaan negeri, penerimaan wang ehsan dianggap mengkhianati rakyat.

“Kita sebagai kerajaan (negeri) bekerja atas amanah rakyat dan royaltilah sebenarnya hak rakyat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat