KUALA LUMPUR – Setiap calon PKR yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke -17 menandatangani surat aku janji serta bon perjanjian bernilai RM10 juta sebagai jaminan tidak membelot amanah terhadap parti.
Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh berkata, langkah itu menunjukkan komitmen penuh calon terhadap perjuangan parti, para pengundi serta kawasan yang akan diwakili mereka.
“Setiap calon telah memberikan komitmen 100 peratus kepada perjuangan parti serta rakyat Sabah.
“Kami (PKR) yakin mereka akan melaksanakan amanah ini dengan penuh integriti sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri baharu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Fuziah, barisan calon kali ini mencerminkan kepelbagaian latar belakang masyarakat Sabah, termasuk bekas timbalan menteri, penjawat awam serta golongan profesional yang bersedia membawa ‘Harapan Urang Sabah’ ke arah perubahan lebih baik selaras dengan aspirasi Madani.
PKR bakal membariskan 10 calon bagi menghadapi pilihan raya berkenaan, dengan komposisi yang menurut Fuziah menggambarkan gabungan pengalaman, kepakaran dan semangat baharu untuk memperjuangkan keadilan sosial dan pembangunan seimbang di Sabah.
Tambahnya, pemilihan calon dibuat berdasarkan merit, keupayaan berkhidmat dan kesetiaan kepada perjuangan parti.
“Kami tidak hanya mencari calon untuk menang pilihan raya, tetapi pemimpin yang mampu membawa suara rakyat Sabah ke pentas nasional,” tegas beliau.
Fuziah turut menzahirkan keyakinan bahawa barisan calon tersebut akan menggalas tanggungjawab dengan amanah bagi memastikan Sabah menuju ke arah pentadbiran yang lebih adil dan makmur selaras dengan aspirasi reformasi yang diperjuangkan PKR.
Terdahulu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 10 nama calon yang akan bertanding di kerusi DUN Sabah pada PRN17 kelmarin.
Calon berkenaan ialah N.18 Inanam, Peto Galim; N.44 Tulid, Rufinah Pengeran; N.23 Petagas, Husaini Sahari; N.61 Segama, Romansa Lamin; N.50 Gum-Gum, Abdul Said Pimping; N.20 Api-Api, Thonny Chee; N.72 Merotai, Datuk Rubi Ubi; N.42 Melalap, Datuk Jamawi Ja’afar; N.35 Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa dan N.54 Karamunting, George Hiew.



