Putrajaya didesak kemuka fakta jumlah hasil, perbelanjaan Sabah bagi menjelaskan 40 peratus

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Persatuan Undang-undang Sabah Roger Chin menggesa Kerajaan Persekutuan mendedahkan secara terperinci jumlah hasil dikutip dari Sabah, bayaran semula bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dan perbelanjaan biasa Persekutuan bagi menjelaskan hak 40 peratus negeri itu.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa Putrajaya memperuntukkan lebih banyak dana kepada Sabah berbanding hasil dikutip dari negeri itu.

Ketika melawat Tamu Jalan Gaya semalam, seorang pengunjung bertanyakan Anwar mengenai pelaksanaan 40 peratus hak Sabah, seperti disahkan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt lalu.

Anwar dilaporkan berkata, kutipan hasil dari Sabah berjumlah RM10 bilion, tetapi Putrajaya menyalurkan RM17 bilion melalui perbelanjaan persekutuan.

Roger Chin bagaimanapun berkata, perbelanjaan Persekutuan perlu diasingkan daripada kewajipan Perlembagaan kerajaan kepada Sabah.

“Perbelanjaan untuk sekolah, hospital, jalan raya atau keselamatan ialah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan kepada semua rakyat Malaysia bawah sistem Persekutuan, bukan sebahagian daripada geran khas 40 peratus khusus bagi Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Oleh itu, beliau berkata, Putrajaya perlu “menunjukkan hasil, potongan, bayaran itu” jika mahu mengemukakan fakta kepada rakyat Sabah.

“Sehingga angka itu didedahkan, tiada siapa boleh katakan dengan jujur Sabah telah menerima ‘lebih daripada yang diberikannya’.

“Perlembagaan bukan soal kemurahan hati. Ia soal kewajipan, ketelusan dan penghormatan terhadap janji yang membina Malaysia,” tegasnya.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dilaporkan berkata, ia akan mengkaji penghakiman Mahkamah Tinggi sebelum mengambil tindakan lanjut.

Formula perkongsian hasil menjadi isu diperdebatkan sejak berdekad. Ahli politik Sabah menuntut Putrajaya menghormati hak negeri itu menerima 40 peratus hasil bersih diperoleh dari Sabah yang dipersetujui pada 1963.

Penggunaan formula itu digantung sejak 1974, di mana Kerajaan Persekutuan menggantikannya dengan pemberian khas lebih besar kepada Sabah dan Sarawak.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat