BONGAWAN — Terletak kira-kira 80 kilometer dari Kota Kinabalu, Homestay Kg. Seri Serbang Bongawan kini muncul sebagai salah satu destinasi pelancongan komuniti yang menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Penyelaras Homestay Seri Serbang Bongawan, Jeffery Hossil berkata, homestay yang dirasmikan pada 28 Mac 2015 ini sah berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan sejak itu, terus menjadi tumpuan kerana keunikan gabungan budaya, tradisi serta alam semula jadi yang dimilikinya.
“Homestay ini bukan sahaja tempat menginap, tetapi ruang untuk pelancong belajar dan menyelami kehidupan sebenar masyarakat kampung. Kami mahu setiap tetamu merasai suasana tradisi dan keramahan penduduk yang menjadi warisan kami sejak turun-temurun,” kata salah seorang penyelaras homestay.
“Seri Serbang Homestay ini telah ditubuhkan dengan kelulusan Kementerian Pelancongan Malaysia pada tahun 2015. Sejak itu, kami mempunyai sebanyak 19 buah rumah pengusaha yang terlibat secara aktif,” katanya.
Jelasnya homestay Kg. Seri Serbang Bongawan dihuni oleh masyarakat berbilang suku kaum, termasuk Brunai, Kadazan dan Jawa namun, identiti utama yang dipamerkan kepada pelancong ialah budaya suku Brunai yang masih kuat diamalkan oleh penduduk tempatan.

Melalui program homestay, pelancong berpeluang mengenali lebih dekat adat resam masyarakat Brunai, khususnya dari aspek pakaian tradisional, muzik, tarian, makanan dan seni persembahan.
“Kami menawarkan pelbagai pakej menarik, antaranya penginapan bilik serta pakej aktiviti yang telah didaftarkan. Pakej utama termasuk 3 hari 2 malam, 2 hari 1 malam dan day trip.
“Antara pakej yang paling mendapat sambutan ialah River Cruise Package. Pelancong dari China, Korea, England, Eropah, Hong Kong, Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Vietnam telah datang ke sini untuk menikmati pengalaman tersebut,” tambahnya.
Selain pengalaman budaya, pelancong turut disajikan dengan pelbagai aktiviti berkaitan alam sekitar, terutamanya di kawasan sungai yang berhampiran.
Aktiviti seperti melihat monyet Proboscis (bayau), memancing udang galah, menangkap ketam, mencari kerang, menaiki perahu menyusuri sungai serta menyaksikan keindahan matahari terbenam menjadi antara tarikan utama.
Bagi pencinta ekopelancongan, aktiviti seperti merambat, menjala, memukat, berakit dan memancing ikan di sungai memberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman tradisional masyarakat nelayan di kampung tersebut.
“Dalam pakej river cruise ini, pelancong dapat melihat bayau, monyet ekor panjang, buaya, burung-burung, pelbagai jenis pokok hutan, biawak serta memerang. Memerang biasanya keluar sekitar jam 10 pagi atau lewat petang.
“Selain itu, pelancong juga boleh menikmati pengalaman di Sunset Point, iaitu lokasi popular untuk mengambil gambar matahari terbenam, disusuli dengan pertunjukan bunga api. Pada waktu malam pula, mereka dapat melihat keindahan kelip-kelip yang unik kerana boleh dipanggil masuk ke dalam bot,” ujarnya.
Homestay ini juga berhampiran dengan beberapa destinasi menarik lain seperti Pulau Tiga, Hutan Paradise Kimanis, Borneo Golf Bongawan, Pantai Kenangan, Air Terjun Sirung Sumandak serta kawasan Hutan Paya Bakau Sinar Baru Kimanis.

Pelancong turut berpeluang mendekati seni dan kebudayaan masyarakat tempatan melalui persembahan gambus, tarian suku kaum Brunai, kulingtangan serta seni silat yang dipersembahkan dalam suasana mesra kampung.
Dalam aspek kulinari, pelancong boleh mempelajari cara memasak makanan tradisional seperti ambuyat, kelupis, kuih cincin, kuih sapit, baulu, wajid serta pelbagai ulam-ulaman tempatan. Aktiviti ini sering menjadi kegemaran kerana pelancong dapat turut serta secara langsung dalam penyediaan makanan.
Selain itu, program kraftangan memberi peluang kepada pelancong melihat dan mencuba sendiri cara membuat gambus, parang serta hasil kraf simen, manakala aktiviti pertanian dan penternakan pula memberi gambaran jelas tentang cara hidup masyarakat desa.
“Kami juga telah mempromosikan produk ini melalui pelbagai saluran termasuk Facebook, Instagram dan akan diperluaskan lagi ke TikTok. Promosi ini bukan sahaja dibuat di Sabah, tetapi juga di Semenanjung dengan sokongan Kementerian Pelancongan Malaysia.
“Saya berharap pada Tahun Melawat Malaysia 2026, Seri Serbang Homestay dapat dikenali lebih luas, bukan sahaja dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa. Kami mahu lebih ramai pelancong menikmati produk pelancongan yang ditawarkan di sini,” tambahnya.
Bagi mereka yang mengidamkan ketenangan, sambil menyelami kehidupan tradisional masyarakat Sabah yang masih utuh dengan adat dan budaya, Homestay Kg. Seri Serbang Bongawan adalah jawapannya.



