KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan pasport antarabangsa menantu Muhyiddin Yassin.
Pembatalan pasport itu bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan projek di sebuah kementerian.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, usaha mengesan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan masih diteruskan.
“Kita sudah membuat tindakan semalam dan berharap KDN setuju dengan permohonan agar pasport beliau dibatalkan.
“Beliau didakwa berada di negara yang mana kita tidak mempunyai perjanjian ekstradisi, tapi kita cuba berunding dengan negara berkenaan bagaimana untuk membawa beliau pulang ke negara ini,” katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad dengan SPRM, pada Rabu.
Pada 7 Ogos 2023, SPRM dilaporkan mencari dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Selain Adlan, seorang lagi lelaki terbabit ialah peguam Mansoor Saat, 70, di mana mereka berdua dikenal pasti meninggalkan Malaysia pada 17 dan 21 Mei 2023.



