Serang SPRM konon diarah lindungi Farhash berniat jahat – pemerhati rasuah

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan dakwaan kononnya siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes melibatkan bekas Datuk Seri Farhash Wafa Salvador diarah’ ataudilindungi’ sebagai tidak berasas dan berniat jahat.

Presiden MCW Jais Abdul Karim berkata, sistem perundangan negara menetapkan keputusan mendakwa dibuat Timbalan Pendakwa Raya yang bebas bukannya oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Jelas beliau, SPRM hanya menjalankan siasatan mengikut kerangka undang-undang sedia ada khususnya Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.

Menurutnya, semua siasatan melibatkan dokumen, saksi dan transaksi kewangan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Sehubungan itu, adalah bidang kuasa mutlak AGC untuk memutuskan sama ada sesuatu kes mempunyai asas pendakwaan atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Semalam, SPRM memaklumkan siasatan berkaitan dakwaan syarikat milik Farhash Wafa yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri yang sebelum ini dikaitkan dengan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah ditutup.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan selesai selepas Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada sebarang kesalahan jenayah dapat dikenakan terhadap mana-mana pihak.

Menurut Jais, kecekapan siasatan oleh SPRM tidak wajar diputar belit sebagai alasan untuk menimbulkan syak wasangka.

Hal ini kerana terdapat kes yang berjaya diselesaikan dengan cepat kerana bukti jelas dan ringkas manakala ada kes memerlukan masa lebih panjang kerana melibatkan jaringan transaksi kompleks.

“Adalah tidak adil untuk membandingkan secara selektif antara kes yang berbeza sifatnya,” katanya.

Sementara itu, Jais turut mengingatkan siasatan ditutup bukan bermakna seseorang itu ‘bersih selama-lamanya’.

Menurut beliau, sekiranya muncul bukti baharu, SPRM boleh membuka semula siasatan pada bila-bila masa.

“Serangan terhadap integriti SPRM hanya kerana tidak selari dengan persepsi politik sesetengah pihak boleh melemahkan usaha membanteras rasuah secara menyeluruh,” katanya.

Sehubungan itu MCW menolak keras sebarang cubaan untuk meremehkan atau mempolitikkan siasatan SPRM.

Katanya, semua pihak perlu berpegang kepada prinsip rule of law yang mana keputusan dibuat berasaskan bukti bukan tekanan politik atau persepsi media sosial.

“MCW menyeru semua pihak berhenti membuat spekulasi dan memberi ruang kepada institusi penguatkuasaan serta AGC untuk menjalankan peranan mereka dengan bebas.

“Rakyat berhak kepada ketelusan, tetapi ketelusan itu mesti dipandu oleh undang-undang bukan oleh naratif politik yang menyesatkan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat