KUALA LUMPUR – Patung yang digunakan bagi membuat simulasi untuk menggambarkan keadaan Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dikatakan jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah di Papar, dibawa pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner,di Kota Kinabalu pada Rabu.
Patung berkenaan yang dibungkus dalam dua bungkusan warna coklat, dibuka Inspektor Siasatan Tempat Kejadian Maidon Bernadus dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di hadapan Koroner Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan pada hari kelima prosiding inkues berhubung kematian remaja itu.
Saksi kelima itu, menunjukkan keadaan patung yang rosak, iaitu di kedua-dua kaki kiri dan kanan patah serta kepala patung tercabut akibat dijatuhkan dari tingkat tiga asrama berkenaan pada 3 Ogos lepas.
Semalam, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau bersama pasukannya menjalankan dua simulasi menggunakan patung berkenaan, iaitu pertama dijatuhkan secara tegak lurus dari koridor tanpa tolakan, manakala kedua dengan tolakan minimum ke hadapan, lapor Bernama di Sabah.
Beliau berkata secara keseluruhan, hasil daripada simulasi mendapati, simulasi pertama, iaitu jatuhan patung ke bawah tanpa daya tolakan atau dorongan adalah hampir dengan kedudukan mangsa hasil siasatan awal, yang dilaksanakan oleh pegawai penyiasat melalui taklimat ringkas diberikan pada awalnya.



