Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA- Seramai 19 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Ambilan 2023 telah berjaya menempatkan diri di universiti-universiti terkemuka dunia dalam senarai Top 20 QS World University Ranking Global.
Menerusi kenyataan JPA memaklumkan, universiti berprestij yang menjadi destinasi mereka termasuk University of Cambridge, Imperial College London, University College London, King’s College London, The London School of Economics and
Political Science serta The University of Edinburgh di United Kingdom.
Pelajar yang berjaya menempatkan diri antara 19 terbaik itu, Muhammad Umar Nor’azim (Keputusan A-Level: 3A) University of Cambridge, bidang Sains Psikologi & Tingkah Laku; Chng Suzanne (A-Level: 4A) University of Cambridge, bidang Kejuruteraan Kimia & Bioteknologi; dan Rubinthiran a/l Yogarajah ( A-Level: 3A) , Imperial College London, bidang Kejuruteraan Kimia.
Selain itu, Muhammad Fitri Hatim Zainuddin ( A-Level: 4A), King’s College London, bidang Matematik; Danish Hariz Ahmad Kamarul (A-Level: 3A), The London School of Economics and Political Science, bidang Perakaunan & Kewangan; dan Imran Arif Mokhtar (A-Level: 3A), The University of Edinburgh, bidang Fizik.
“JPA merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada mereka yang telah menunjukkan pencapaian gemilang hasil kecemerlangan dalam peperiksaan A-Level.
“Ia mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam melahirkan modal insan berwibawa dan berdaya saing di pentas antarabangsa, ”kata kenyataan itu.
Katanya, kejayaan ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam melahirkan modal insan unggul berkelas dunia, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berprestasi tinggi, berdaya saing dan disegani di pentas global.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih, disiplin tinggi dan daya juang luar biasa para pelajar dan pendidik sepanjang mengikuti pengajian peringkat A-Level.
“Lebih mengujakan, pencapaian mereka bukan sahaja membanggakan diri, keluarga dan institusi pendidikan, malah turut membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan generasi berkelas dunia yang seterusnya mengangkat nama negara ke persada antarabangsa, ”ujarnya.
Tegasnya, kecemerlangan ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan dalam menyantuni rakyat, berteraskan nilai Kecemerlangan, Integriti dan Ihsan dalam melahirkan generasi pewaris negara yang berwibawa.
“Para pelajar ini menggalas amanah besar sebagai duta kecil negara, mencerminkan citra rakyat Malaysia yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing di peringkat global.
“JPA mendoakan agar mereka terus berjaya dalam pengajian, mengharumkan nama negara, serta kembali ke tanah air dan menyumbang tenaga sebagai modal insan berkualiti tinggi yang akan bersama memacu pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Malaysia pada masa hadapan, ”tambah kenyataan itu. – SUARA.TV



