WeChat, TikTok dan Telegram sudah daftar Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi – Fahmi

KUALA LUMPUR – Tiga syarikat pemberi perkhidmatan pesanan internet dan media sosial sudah dilesenkan di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), setakat 31 Ogos lalu.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, tiga syarikat itu ialah WeChat International Private Limited, TikTok Private Limited dan Telegram Messenger Incorporated.

Bagaimanapun, katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) ketika ini masih meneruskan perbincangan bersama platform Meta (Facebook, Instagram dan WhatsApp) serta Google (YouTube).

Beliau berkata, ini bagi memastikan isu berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan kerangka pelesenan dapat diselesaikan dengan sewajarnya, selaras matlamat mewujudkan persekitaran dalam talian lebih selamat dan bertanggungjawab.

“Platform X pula memaklumkan jumlah penggunanya di negara ini tidak mencapai nilai ambang 8 juta untuk memenuhi keperluan pelesenan.

“Namun, MCMC sedang menjalankan kajian baharu secara menyeluruh bagi menentukan jumlah pengguna di platform berkaitan di bawah kerangka pelesenan ini dan akan meneliti jika ada keperluan platform termasuk X didaftarkan sebagai pemegang lesen ASP(C),” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mengenai perkembangan terkini perbincangan dengan platform media sosial yang belum memperoleh lesen di bawah ASP(C) dan halangan menyebabkan proses itu berlarutan agak lama, menerusi jawapan bertulis Dewan Negara.

Fahmi berkata, MCMC juga sentiasa mengekalkan komunikasi secara terbuka dengan penyedia perkhidmatan yang masih belum memperoleh ASP(C) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Proses pelesenan ini memerlukan masa kerana membabitkan penyelesaian pelbagai isu berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan kerangka pelesenan bersama penyedia perkhidmatan asing berskala besar.

“Perbincangan merangkumi aspek teknikal, operasi dan pematuhan undang-undang kompleks yang memerlukan penelitian terperinci,” kata Ahli Parlimen Pantai Dalam itu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat