Dasar tidak lagi beri impak perlu dinilai semula, jangan takut perubahan – Noraini

BANGI – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mahu dasar atau program kementeriannya yang tidak lagi memberikan impak dinilai semula bagi memastikan sektor agrikomoditi terus bergerak seiring perubahan dunia.

Beliau berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) perlu membudayakan pendekatan berorientasikan penyelesaian dengan mempermudah urusan dan mempercepat keputusan tanpa menjejaskan tatakelola.

“Kalau sesuatu boleh dipermudahkan, kita permudahkan. Kalau sesuatu keputusan boleh dipercepatkan tanpa menjejaskan tatakelola, kita percepatkan.

“Kalau sesuatu masalah memerlukan dua atau tiga agensi duduk semeja, maka duduklah bersama dan selesaikan. Jangan biarkan rakyat atau industri menunggu hanya kerana isu itu merentas bidang kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ogos dan Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan KPK di Ibu Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, hari ini.

Noraini berkata KPK mempunyai dasar, agensi berkepakaran, penyelidik, pegawai berpengalaman dan industri yang telah dibina selama berdekad-dekad, namun cabaran sekarang adalah memastikan semua kekuatan itu bergerak sebagai satu pasukan.

Menurutnya, masalah dihadapi pekebun kecil dan industri tidak berlaku mengikut sempadan bahagian atau carta organisasi kementerian, sebaliknya mereka hanya mahu masalah yang dihadapi diselesaikan.

“Kalau ada dasar atau program yang tidak lagi memberikan impak seperti yang kita mahukan, kita mesti berani menilai semula.

“Jangan takut kepada perubahan. Yang perlu kita takut ialah apabila dunia bergerak tetapi kita masih berada di tempat yang sama,” katanya.

Beliau mahu KPK dikenali sebagai kementerian yang pantas membaca perubahan, cekap membuat keputusan dan dekat dengan rakyat memandangkan sektor itu melibatkan ratusan ribu pekebun kecil serta industri yang menyumbang berbilion ringgit kepada eksport negara.

Noraini berkata, setakat Mac 2026, terdapat lebih 600,000 pekebun kecil persendirian agrikomoditi di seluruh negara yang bergantung kepada sektor sawit, getah, koko, lada dan komoditi lain.

Sehubungan itu, katanya, kementerian tidak boleh sekadar menggubal dasar dari meja pejabat, tetapi perlu turun padang untuk memahami sendiri cabaran sebenar dihadapi masyarakat.

Atas semangat tersebut, KPK memulakan Program Salam Agrikomoditi di Negeri Sembilan pada 25 Julai lalu dan program berkenaan akan diperluas secara berterusan ke kawasan pekebun kecil di seluruh negara.

“Kita datang bukan hanya membawa risalah. Kita membawa bersama agensi, penerangan serta maklumat mengenai bantuan, pensijilan, insentif dan peluang yang tersedia.

“Pendek kata, kalau rakyat sukar datang kepada kita, maka kita yang perlu pergi kepada rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Noraini berkata sektor komoditi dan industri berasaskan komoditi mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar sebanyak RM19.65 bilion pada suku pertama 2026, meningkat berbanding RM18.95 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Eksport produk berasaskan komoditi pula membawa masuk RM41.62 bilion kepada negara, manakala nilai eksport agrikomoditi ke India meningkat lebih 50 peratus pada suku pertama tahun ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa peningkatan angka eksport perlu diterjemahkan kepada penciptaan lebih banyak nilai dalam negara dan peningkatan pendapatan di peringkat bawah.

“Apabila pasaran baharu dibuka, kita perlu memastikan lebih ramai pemain industri, usahawan dan pekebun kecil mendapat manfaat daripada peluang tersebut. Itulah ukuran sebenar kejayaan kita,” katanya.

Dalam aspek teknologi, Noraini berkata MPOB memperkenalkan sembilan teknologi baharu menerusi Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB 2026.

Pembangunan Sawit Intelligent Management System dan GeoSAWIT pula membantu memperkukuh kebolehkesanan industri ketika pasaran dunia semakin memberi perhatian kepada sumber, kaedah pengeluaran, kemampanan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan.

Beliau berkata, semangat kemerdekaan bagi KPK turut membawa maksud memperkukuh kedaulatan ekonomi dan membina kemampuan teknologi serta kepakaran berasaskan kekuatan negara sendiri.

“Kemerdekaan ekonomi yang sebenar ialah apabila kita bukan sekadar menghasilkan bahan mentah, tetapi mampu menguasai lebih banyak bahagian dalam rantaian nilai.

“Daripada ladang kepada penyelidikan, daripada penyelidikan kepada teknologi, daripada teknologi kepada produk dan daripada produk kepada jenama Malaysia yang dihormati dunia,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat