KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).
Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah menyatakan, prosedur tersebut berjalan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan.
“Beliau kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik,” katanya dalam kenyataan ringkas pada Isnin.
Sebelum itu, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan, Anwar sedang menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan.
Perdana Menteri dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan. Beliau dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.
“Marilah kita mendoakan agar segala urusan pemeriksaan serta prosedur Perdana Menteri dipermudahkan dan dikurniakan keafiatan yang berpanjangan agar dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa dalam masa terdekat, Insya-Allah,” ujar Tunku Nashrul.


