CYBERJAYA,- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung penyebaran kandungan di media sosial berkaitan kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang dipercayai mengandungi maklumat palsu serta bersifat 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja).
Menurut MCMC, kandungan tersebut dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam selain menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, seorang pengendali laman Facebook telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 9 Ogos lalu untuk sesi rakaman keterangan. Satu unit telefon bimbit dan satu keping kad SIM turut disita bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan serta berhati-hati daripada menyebarkan kandungan berunsur spekulasi yang belum disahkan.
“Penyebaran maklumat yang tidak tepat bukan sahaja berisiko mengguris hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika dan boleh mengganggu proses keadilan,” jelas kenyataan itu.



