Scha tak ‘daring’ lagi….

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Imej dan penampilan ‘berani mati’ Scha Elinnea, 22, yang suka berpakaian mencolok mata usah dipersoalkan.

Sekalipun dikecam dan dilontarkan penghinaan, gadis yang diperkenalkan menerusi drama Mr Grey itu tetap menjadi diri sendiri, tidak berganjak daripada prinsip hidupnya.

Lebih teruk, Scha atau nama sebenarnya, Natasha Mohamed Mubeen pernah disalah erti melakukan pekerjaan tidak senonoh disebabkan tindakan memuat naik gambar kereta mewah dimiliki.

Namun, hakikatnya, hati manusia Allah yang pegang. Siapa sangka, Scha berubah tingkah laku sejurus menyambut ulang tahun kelahiran ke-22, baru-baru ini.

Foto seksi yang boleh menimbulkan keghairahan dipadamkan satu persatu, malah imej dan penampilannya kian berubah, sejak akhir-akhir ini.

Pengakuan bintang muda yang melonjak populariti menerusi drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek dan Sitik Tok itu mahu berubah menjadi insan lebih baik bagaikan satu kejutan, malah mencetuskan spekulasi sedang dilamun cinta dan bakal mendirikan rumah tangga.

Menafikan berubah disebabkan seorang jejaka bergelar kekasih, Scha akui, belum masanya terlalu memikirkan soal cinta, apatah lagi, usia masih terlalu muda. Kini, keutamaannya lebih kepada kerjaya dan keluarga.

Malah, gadis genit ini mempunyai pelbagai impian belum dikecapi, selain mahu melakar nama sebagai pelakon dan memiliki empayar perniagaan sendiri.

Jauh di sudut hati, Scha bimbing andai terjerumus dalam perhubungan toksik. Namun, ia bukan bermakna menutup pintu hatinya buat lelaki.

Tanpa berselindung, Scha mengakui sedang mengenali hati budi seorang jejaka. Bagaimanapun, hubungan masih baharu dan belum memasuki fasa serius.

“Saya sedang berkawan dengan seseorang, namun, ia bukanlah bercinta. Berkawan tidak semestinya bercinta, sebaliknya kami lebih selesa sedang mengenali hati budi terlebih dahulu.

“Jujurnya, buat masa ini, saya masih belum memiliki teman lelaki istimewa. Saya masih muda, jika boleh saya tidak mahu terlalu fokus terhadap soal cinta.

“Mungkin sesetengah gadis seusia saya sudah berkahwin dan memiliki cahaya mata, tetapi saya masih belum mempunyai perancangan ke arah fasa baharu dalam kehidupan.

“Apapun, saya percaya jodoh di tangan Allah. Saya terima seandainya ditakdirkan jodoh sampai awal bersama insan yang tepat. Namun, buat masa ini, fokus saya terhadap kerjaya dan keluarga,” katanya kepada BH Online.

 

Scha pernah disalah erti melakukan pekerjaan tidak senonoh disebabkan tindakan memuat naik gambar kereta mewah dimiliki. - Foto IG Scha Elinnea
Scha pernah disalah erti melakukan pekerjaan tidak senonoh disebabkan tindakan memuat naik gambar kereta mewah dimiliki. – Foto IG Scha Elinnea

 

Gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berkata, dia bimbang seandainya dipertemukan dengan lelaki yang kuat cemburu hingga menjejaskan kerjaya seni.

“Ini juga antara punca kenapa saya malas memikirkan soal cinta. lelaki. Saya bimbang bertemu dengan lelaki yang tidak memahami tuntutan kerja lakonan.

“Saya tidak mahu serabut fikiran sehingga boleh terbawa-bawa ke lokasi penggambaran, penghujungnya boleh menjejaskan mutu lakonan,” luahnya.

Tidak keterlaluan ditafsirkan imej seksi Scha lebih banyak diperkatakan berbanding karya lakonannya.

Bagaimanapun, Scha bukannya seorang yang mudah melatah, sebaliknya lebih senang mengabaikan tohmahan dilemparkan dalam laman sosial.

Malah, Scha mengakuinya, tidak mempunyai masa menilik satu demi satu cercaan ditinggalkan di ruangan komen.

Daripada melayan penghinaan yang menyebabkannya remuk, Scha akui, lebih gemar mengabaikannya kerana tidak mahu kesihatan mental terganggu, lebih lagi, dalam mengharungi musim pandemik.

Begitupun, Scha berkata, ia bukanlah bermakna mengabaikan setiap teguran, nasihat atau doa yang di titipkan pengikut yang mahu melihatnya berubah.

Diakuinya, dirinya perlahan-lahan belajar untuk berubah berkat doa keluarga, peminat dan seiring peningkatan usia.

“Apabila tinggal sendirian sepanjang Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) membuatkan saya bermuhasabah mengenai kekhilafan diri. Bukan hanya sebab ‘kenakalan’ mendorong saya berubah, sebaliknya nasihat mama membuatkan saya terfikir kebenaran kata-katanya.

“Mama menjadi insan yang sering mendorong saya untuk berubah. Walaupun seorang yang berfikiran terbuka, namun, mama tetap menegur jika saya melakukan kesilapan.

“Mama umpama lampu yang menerangi hidup saya. Mama tidak akan marah, tetapi menegur dengan cara baik.

“Sekiranya penampilan saya terlampau seksi, mama akan tegur. Bagaimanapun, mama bukan seorang yang suka memaksa kerana tahu perubahan memerlukan masa,” katanya.

Selain itu, katanya, hatinya lebih lembut apabila menerima teguran peminat secara baik dan ikhlas menasihatinya.

“Peminat juga menjadi penguat semangat untuk saya berubah.

“Saya terima nasihat peminat secara baik. Jika mahu menegur perlu ada cara, bukannya secara kasar atau maki hamun. Hati saya juga menjadi tawar untuk mengikut nasihat mereka,” katanya.

 

Scha menganggap tidak salah syarikat produksi menampilkan selebriti media sosial sepertinya sebagai wajah baharu, namun perlu mempunyai inisiatif mengikuti kelas lakonan. - Foto IG Scha Elinnea
Scha menganggap tidak salah syarikat produksi menampilkan selebriti media sosial sepertinya sebagai wajah baharu, namun perlu mempunyai inisiatif mengikuti kelas lakonan. – Foto IG Scha Elinnea

 

Bersyukur orang tua tidak pernah termakan umpat keji masyarakat terhadapnya, Scha berkata, ibu bapa meletakkan 100 peratus kepercayaan terhadapnya. Justeru, dirinya tidak mahu mengabaikan kepercayaan dan kebebasan diberikan.

“Mama dan papa meletakkan sepenuh kepercayaan kepada saya. Mereka tahu apa yang saya lakukan, jadi apabila timbul tuduhan hingga terjerumus dengan kerja tidak senonoh, mereka tidak percaya. Ini kerana mereka lebih mengenali saya.

“Saya juga anak sulung dalam keluarga. Saya mempunyai tiga adik yang masih bersekolah dan menjadi tanggungjawab saya. Jadi, saya tidak akan tergamak menghampakan harapan keluarga dengan melakukan perkara tidak senonoh.

“Bagi saya, tidak perlu untuk saya menjelaskan apa yang saya lakukan. Cukup keluarga tahu apa yang saya buat,” katanya yang bakal melancarkan produk bersama rakan kongsi, tidak lama lagi.

Menyelak lembaran kerja seninya, mungkin ramai tidak tahu Scha bermula sebagai selebriti media sosial sebelum dilamar menjadi pelakon.

Tiga tahun bertatih dalam bidang lakonan, Scha berkata, setakat ini, dia bersyukur dengan perjalanan kerjayanya.

Sejak awal kemunculannya, Scha akui, rezeki diterima tidak pernah putus, namun, tidak pernah berhenti belajar ilmu lakonan setiap masa.

Meletakkan Nabila Huda, Maya Karin dan Bront Palarae sebagai idola, Scha merasakan dirinya masih kerdil walaupun pernah berlakon di sisi pelakon berpengalaman seperti Fauziah Ahmad Daud atau Kak Ogy dalam drama pertamanya, Mr Grey pada 2018.

Biarpun dikenali sebagai pelakon hebat, Scha berkata Kak Ogy tidak sombong dan lokek berkongsi ilmu.

“Saya akui sangat gementar apabila kali pertama masuk lokasi penggambaran. Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir menjadi pelakon, suatu hari nanti.

“Pada hari pertama, saya terlebih dahulu meminta maaf kepada pengarah dan rakan pelakon sekiranya membuat kesilapan memandangkan ini pekerjaan pertama saya selepas tamat sekolah.

“Alhamdulillah, Kak Ogy, Fendy Bakry dan Eyra Hazali melayani saya dengan baik dan sering memberi tunjuk ajar. Begitu juga pengarah drama Mr Grey, Riza Baharudin tidak jemu mengajar saya.

“Bagi saya, sebagai pelakon baharu jangan sesekali segan bertanya. Selain itu, saya perlu memberanikan diri menegur pelakon yang lebih berpengalaman,” katanya.

Mengulas pandangan selebriti media sosial yang bergelar pelakon sering dipandang rendah, Scha menganggap tidak salah syarikat produksi menampilkan wajah baharu.

Namun, katanya, pelakon baharu harus mempunyai inisiatif mengikuti kelas lakonan supaya kemampuan tidak dipertikaikan.

“Sesiapa sahaja boleh menceburi bidang lakonan. Namun, kita perlu menghormati satu sama lain dan tidak adil menjatuhkan hukuman selebriti media sosial hanya bersandar pada wajah semata-mata.

“Bakat boleh diasah, asalkan pelakon baharu ada keinginan mahu mengikuti kelas lakonan, selain melakukan persediaan sebelum memasuki lokasi penggambaran.

“Selain itu, kita perlu menghormati pelakon lebih berpengalaman. Lama-kelamaan, mereka pasti boleh menerima kehadiran pendatang baharu seperti kita,” katanya yang kini tampil sebagai watak utama drama Sitik Tok arahan Joon Goh disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat