1,500 pekerja seni budaya terima bantuan makanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dan Yayasan Sime Darby (YSD) meneruskan program Bantuan Makanan Artis 2021 bagi membantu mengurangkan bebanan ekonomi dihadapi pekerja seni budaya akibat pandemik COVID-19.

Program bertujuan membantu pekerja seni budaya khususnya seni persembahan, visual, muzik indie dan kraf yang terjejas disebabkan penutupan sektor dan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, sejak Mei, tahun lalu.

Sebanyak 1,500 permohonan diterima daripada komuniti seni budaya, tahun ini. Program Bantuan Makanan Artis 2021 disokong YSD dengan dana sepadan diperuntukkan oleh kerajaan di bawah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Setiap penerima menerima baucar runcit bernilai RM160 bagi pemohon bujang dan RM220 untuk keluarga.

Fasa pertama dilancarkan untuk pekerja seni budaya sekitar Lembah Klang, diikuti Perak dan Pulau Pinang pada Jun lalu.

Manakala, fasa kedua diagihkan merangkumi penerima di Sabah, Sarawak, Pahang, Kelantan dan Terengganu pada bulan lalu.

Kini, CENDANA dan YSD dalam proses penyelarasan fasa terakhir yang bermula 16 Ogos ini dan akan diperluaskan ke Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina berkata, pandemik COVID-19 memberi impak besar kepada sektor seni budaya sejak tahun lalu.

Katanya, sebanyak 92 peratus penggiat seni budaya dan pekerja pentadbiran menghadapi impak teruk, yang mana 70 peratus kehilangan sebahagian besar atau keseluruhan pendapatan berdasarkan laporan dilakukan.

“Oleh sebab cabaran terpaksa dilalui penggiat seni budaya, kami memperkenalkan program Bantuan Makanan Artis dengan berkolaborasi bersama YSD bagi tujuan memberi sokongan kepada warga penggiat seni yang terkesan.

“Setakat ini, 36 peratus penerima terdiri daripada sektor seni persembahan, muzik indie (34), seni visual (24) dan selebihnya, sektor kraf dan seni lain.

“CENDANA sentiasa komited menyokong pemulihan sektor seni budaya negara. Sehingga kini, kami sudah meluluskan dana kira-kira 1,000 penerima manfaat tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan daripada 11,000 rakyat Malaysia dan mempertingkatkan kemahiran lebih 13,000 penggiat industri sejak memulakan operasi pada penghujung 2017,” katanya kepada BH Online.

 

Tengku Zafrul membeli dan mengagihkan barangan keperluan bagi program Bantuan Makanan Artis 2021. - Foto Ihsan CENDANA
Tengku Zafrul membeli dan mengagihkan barangan keperluan bagi program Bantuan Makanan Artis 2021. – Foto Ihsan CENDANA

 

Izan berkata, CENDANA turut meluluskan RM10 juta kepada 525 penerima manfaat di samping mencipta lebih 3,000 peluang pekerjaan di kalangan penggiat seni sejak April lalu.

Bagaimanapun, katanya, lebih 2,000 peluang pekerjaan diwujudkan menerusi peruntukkan Bajet 2021.

“Program dan inisiatif CENDANA tertumpu kepada komuniti yang luas dari artis, tukang kraf, pengeluar kraf, buskers, penyanyi veteran, kru teknikal, pekerja produksi, pelakon, penari dan lain-lain.

Terdahulu, penyerahan program Bantuan Makanan Artis 2021 disampaikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kepada enam penerima.

Dalam sesi berkenaan, Tengku Zafrul memperoleh maklum balas dan input daripada penerima bantuan dan bagaimana kerajaan dapat meringankan cabaran dihadapi pekerja seni budaya.

Sementara itu, Ketua Pegawai YSD, Yatela Zainal Abidin berkata, kerjasama YSD dan CENDANA menghulurkan bantuan diperlukan dalam bentuk baucar runcit kepada individu serta sektor seni budaya yang terkesan, sejak tahun lalu.

“Seni budaya adalah salah satu tonggak penting bagi YSD. Kami menyaksikan impak pandemik ke atas rakan dan benefisiari yang memberi kesan mendalam terhadap industri seni budaya.

“Melalui kerjasama bermakna bersama CENDANA, YSD memberikan komitmen sebanyak RM355,600 untuk membantu lebih 1,600 individu di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, ” katanya.

Bagi membantu mengenal pasti dan menyebarkan maklumat mengenai program Bantuan Makanan Artis 2021, persatuan dan badan seperti Penang Arts District (Pulau Pinang), PORT Ipoh (Perak), Persatuan Seni Persembahan Sabah, SPArKS (Sabah),

Sarawak Digital Economy Corporation Bhd, SDEC (Sarawak), PUSAKA (Kelantan), Duyong Arts Community (Terengganu), dan Persatuan Seni Budaya Indera Mahkota (Pahang) tampil memberikan sokongan.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat