Bertanding di kerusi sama, siapa pun menang kerusi itu kekal dalam gabungan, cadang Salleh Keruak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangkan di negeri berbilang kaum seperti di Sabah menjalankan pertandingan mesra bukan “bebas untuk semua”.

Maksud beliau, ia adalah persetujuan yang dirancang dan saling hormat, di mana walaupun bertanding di kerusi sama, siapa pun yang menang, kerusi itu kekal dalam gabungan.

Jelas bekas Ketua Menteri Sabah itu, pendekatan ini membantu mengurangkan ketegangan antara jentera parti, mengekalkan kesatuan gabungan, dan memberi kejelasan kepada pengundi. Ia membolehkan kerjasama tanpa memaksa kompromi yang tidak realistik.

“Model seperti ini telah diamalkan di negara lain. Di India, Jerman, dan Indonesia, parti-parti mungkin bertanding di sesetengah kawasan tetapi tetap bekerjasama dalam kepimpinan nasional membuktikan bahawa persaingan dan perpaduan boleh wujud seiring. Ini menunjukkan kematangan politik tahu bila bersaing dan bila perlu bersatu, tanpa merosakkan kepercayaan dalam gabungan.

“Di Sabah, pendekatan ini boleh dilaksanakan jika diurus secara profesional, dengan kepercayaan dan komitmen bersama untuk membentuk kerajaan yang stabil.

“Dalam mana-mana gabungan politik, adalah perkara biasa jika dua atau lebih parti berminat untuk bertanding di kerusi yang sama. Di negeri yang berbilang kaum seperti Sabah, ini bukan luar biasa. Yang penting ialah bagaimana ia diurus dengan kematangan dan saling menghormati.

“Daripada membiarkan pertindihan mencetuskan ketegangan atau mendorong calon bebas tajaan, lebih baik ia ditangani melalui pertandingan mesra di mana parti-parti dalam gabungan bersetuju untuk bertanding tetapi kekal bersatu.

“Untuk mengurus perkara ini secara berkesan, setiap parti perlu seimbang antara realiti politik dan rasa hormat terhadap kekuatan rakan-rakan gabungan. Pertandingan mesra bukan soal ego, tetapi mencari jalan praktikal di lapangan,” saran Salleh.

Pun begitu kata beliau, kajian profesional amat penting bagi menentukan kerusi mana sesuai untuk pendekatan ini.

Ujar Salleh, ia perlu mengambil kira keputusan pilihan raya lepas, kekuatan jentera, calon yang dicadang, serta kemungkinan tukar kerusi. Jika tidak diurus dengan teliti, pertindihan boleh menyebabkan perpecahan undi dan memberi kelebihan kepada pihak lawan gabungan.

“Jika sekurang-kurangnya separuh daripada 73 kerusi DUN Sabah dapat dipersetujui tanpa pertindihan, itu sudah satu asas yang kukuh. Untuk baki kerusi, pertandingan mesra hanya wajar digunakan apabila rundingan tidak menemui kata sepakat dan mesti disertai dengan persefahaman yang jelas.

“Ada yang berpendapat lebih baik parti bertanding solo dahulu dan hanya bentuk gabungan selepas pilihan raya. Namun, pendekatan ini membawa banyak ketidaktentuan kepada pengundi, calon, dan hala tuju pentadbiran. Ia membuka ruang kepada agenda peribadi dan rundingan pasca pilihan raya yang tidak stabil. Gabungan sebelum pilihan raya memberi kejelasan, membina kepercayaan, dan membawa kepada keputusan yang lebih kukuh.

“Akhirnya, rakyat tidak mahu melihat perbalahan dalaman yang berpanjangan. Mereka mahu pemimpin yang boleh bekerjasama dan menghasilkan sesuatu. Yang mereka harapkan ialah gabungan yang meletakkan rakyat di hadapan dan menunjukkan hasilnya,” kata Salleh.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat