KUALA LUMPUR – Pemuda Umno menyokong pensturukturan subsidi diesel memandangkan polisi berkenaan pernah dicadangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu meskipum dibantah teruk pada ketika itu.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh menyatakan, Pemuda Umno faham akan keperluan yang lebih besar dalam usaha untuk membina negara.
Pun begitu, katanya Pemuda Umno berharap penarikan subsidi bahan bakar itu dilakukan secara berkala agar tidak menyebabkan kejutan ekonomi semasa yang mendadak.
“Secara umum, Pemuda Umno menyokong polisi pengstrukturan subsidi. Polisi ini turut dicadangkan oleh Kerajaan BN dahulu walaupun dibantah teruk pada ketika itu.
“Pemuda Umno faham akan keperluan yang lebih besar dalam usaha untuk membina negara namun dalam masa yang sama biarlah penarikan subsidi ini dilakukan secara berkala agar tidak menyebabkan kejutan ekonomi semasa yang mendadak.
“Kita tidak mahu apabila polisi ini dijalankan,lebih banyak keburukan dari kebaikan yang rakyat perlu tanggung,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau lagi, dengan kaedah pembayaran subsidi bersasar ke golongan yang memerlukan masih lagi di peringkat awal dan sudah pasti akan ada masalah-masalah yang tidak boleh dielakkan seperti kelulusan permohonan yang dipohon dan keciciran golongan yang memerlukan, impak ekonomi kepada pengguna tetap akan berlaku dan tidak dapat dielakkan.
“Oleh itu, Pemuda Umno mengesyorkan agar subsidi diesel ini perlu dilaksanakan secara berkala.
“Adalah lebih elok jika ia boleh dilaksanakan dengan penarikan subsidi secara kecil dahulu misalnya RM 0.20, atau pada kadar 10 peratus minimum sehinggalah cabaran-cabaran awal dapat diatasi dan situasi ekonomi semasa kembali stabil barulah mula dengan jumlah yang lebih besar secara berkala,”katanya.
Ujar Dr Akmal, pengumuman penarikan secara penuh subsidi diesel bermula hari ini telah mendatangkan pelbagai rasa dan reaksi.
“Bagi Pemuda Umno, kami berpandangan dan mengesyorkan agar penarikan subsidi diesel ini perlu dilakukan secara berkala dan bukanlah secara total dan mengejut seperti yang diumumkan.
“Kesan penarikan subsidi diesel ini akan mengakibatkan harga diesel naik dengan begitu mendadak dari RM 2.15 kepada RM 3.35 iaitu kenaikan sebanyak RM1.20/liter.
“Kenaikan yang besar dan tajam ini sudah pasti mendatangkan kesan kepada ekonomi semasa dan orang ramai,” katanya.