Gangguan Bekalan Air Berjadual Di 47 Kawasan Di Petaling Pada 21-22 Jun – Air Selangor

- Advertisement -

SHAH ALAM – Sebanyak 47 kawasan di Wilayah Petaling akan mengalami gangguan bekalan air berjadual berikutan pelaksanaan kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Kolam Air Bukit Dengkil, minggu depan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata gangguan bekalan air berjadual itu bermula jam 9 pagi, 21 Jun dan dijangka pulih sepenuhnya jam 9 pagi, 22 Jun.

“Antara kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual adalah beberapa kawasan di Puchong, Kinrara, Glenmarie, Bukit Jalil dan Jalan Subang Airport.

“Pelaksanaan kerja ini mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaik taraf sistem bekalan air demi keselesaan pengguna pada masa depan.

“Bekalan air dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna bermula jam 9 malam, 21 Jun secara berperingkat selepas kerja menaik taraf dan penyenggaraan siap seterusnya sistem agihan bekalan air distabilkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elina berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

“Air Selangor akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Justeru, Air Selangor menasihatkan pelanggan terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

“Bagi pelanggan komersial pula, pembelian air menggunakan lori tangki air masing-masing akan dibuka di satu stesen pengisian air setempat. Pelanggan komersial boleh membuat pembayaran untuk pembelian air di Jalan TPP 5/17, Taman Perindustrian Puchong,” katanya.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual itu dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat