KUALA LUMPUR – Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berpendapat sekiranya dirinya kini di posisi Menteri Kewangan atau Menteri Ekonomi tentunya beliau akan menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memperluaskan subsidi diesel untuk sektor-sektor tertentu buat sementara waktu.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri itu mengakui kenaikan harga diesel impak perang di Asia Barat ketika ini agak mendadak justeru kerajaan wajar memperluaskan bantuan kepada sektor-sektor terjejas.
Bekas Menteri Kewangan itu menyatakan dalam tempoh 3-4 minggu ini kenaikan diesel sudah mencecah 80 peratus, maka kerajaan seharusnya mengurangkan impak kepada sektor-sektor terkesan dengan memperluaskan bantuan untuk tempoh kritikal ini sahaja bukan selama-lamanya.
“Cuma pada pendapat sayalah kalau saya Menteri Kewangan ataupun Menteri Ekonomi saya nak nasihatkan kepada Perdana Menteri ialah kenaikan itu agak mendadak dan kita kena pastikan yang kita perluaskanlah bantuan kepada sektor-sektor yang mungkin tidak dibantu pada masa ini untuk buat sementara waktu sehingga harga minyak turun balik selepas peperangan selesai ataupun Selat Hormuz dibuka semula harga minyak akan turun.
“Dan ini pandangan saya tapi saya tak tahulah keadaan fiskal bagaimana. Cuma sebagai ahli ekonomi yang pernah melalui pelbagai macam krisis. Dalam isu membantu rakyat ini kita tidak boleh melihat hanya dari sudut angka, dari sudut kewangan.
“Kerana fiskal kita pun sekarang dah Alhamdulillah turun- defisit kita dah turun sampai 3.7 peratus dan sebelum ini memang lebih tinggi dan menunjukkan disiplin fiskal yang baik. Oleh itu kalau kita perlu bantu kita mempunyai ruang fiskal sebenarnya,” jelas beliau dalam audio siar Tiger Show.
Menjelaskan lebih lanjut, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu berkata, pada masa sama kerajaan telah menunjukkan keupayaan untuk menurunkan balik hutang negara.
“Dalam tempoh masa sejak Covid habis, selesai sampai sekarang. Ini menunjukkan disiplin yang baik dan rating kita tidak pernah affected.
“Semasa Covid walaupun defisit kita naik sampai 6 peratus tetap kita bantu rakyat tapi kita ada disiplin untuk mengurangkan, jadi untuk minyak pun saya rasa kalau boleh kita kena buat senario.
“Di fahamkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) tengah buat senario, cuma saya punya harapan ialah kita kena peluaskanlah bantuan untuk sektor-sektor yang terkesan dalam isu diesel ini untuk buat sementara, taklah selama-lamanya.
“Tak payahlah nak bantu semua sektor dan mungkin tak payahlah bantu sampai 100 peratus subsidi kerana kenaikan itu dalam masa 3-4 minggu dah sampai 80 peratus.
“You need to have some trigger to slow down the impact,” saran Tengku Zafrul.
Menurut beliau lagi, antara sektor terjejas akibat kenaikan diesel yang memerlukan peluasan subsidi ini ialah pengusaha bas pelancongan, trak tunda bahkan pengguna harian, maka kerajaan perlu membantu seketika sektor-sektor kritikal ini.



