PKP: Beberapa Sektor Ekonomi Akan Diberi Kelonggaran Secara Bersyarat – PM

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan untuk memberikan kelonggaran kepada sektor ekonomi untuk beroperasi susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, berkata kebenaran itu akan diberikan secara berperingkat.

“Saya faham ekonomi negara kita terjejas kerana sekatan-sekatan yang dibuat terhadap aktiviti perusahaan, perkilangan dan perniagaan sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa.

“Untuk itu, kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

“Sebuah jawatankuasa khas kabinet yang dipengerusikan bersama menteri kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan menteri kanan Pertahankan diwujudkan untuk meneliti senarai sektor-sektor ekonomi yang terpilih untuk dibuka secara berperingkat,” katanya ketika sidang media khas hari ini.

Muhyiddin bagaimanapun mengingatkan kebenaran operasi itu tidak bermakna PKP yang sedang berjalan boleh dilonggarkan syarikat terlibat.

Beliau turut memberi amaran kepada kilang dan syarikat untuk menarik kembali kebenaran beroperasi jika gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Saya ingin tegaskan pembukaan beberapa sektor yang terhad ini bukan bermaksud kita melonggarkan perintah kawalan pergerakan. Perintah ini masih berkuatkuasa dan semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mestilah dipatuhi.

“Jika terdapat pengusaha, kilang atau syarikat yang melanggar peraturan, kerajaan akan menarik balik kebenaran yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata senarai sektor ekonomi yang akan diberi kebenaran untuk beroperasi akan diumumkan dalam masa terdekat.

Perketat kawalan sempadan

Muhyiddin turut mengarahkan pihak berkuasa memperketatkan kawalan di pintu sempadan negara bagi mengelak pendatang asing tanpa izin memasuki negara kerana dibimbangi akan membawa wabak Covid-19.

“Saya nak beritahu, di sepanjang sempadan negara kita ini banyak terdapat lorong-lorong tikus. Pendatang asing tanpa izin biasanya bolos menerusi lorong-lorong ini. Jika kita tidak tingkatkan kawalan, mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk ke negara kita.

“Jadi, saya arahkan ketua polis negara, panglima angkatan tentera, ketua pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, imigresen, RELA dan lain-lain agensi yang berkaitan perketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat