Hina Simbol Agama Hindu: Syahredzan Mahu Tindakan Tegas Terhadap Individu Terlibat

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan segera terhadap seorang individu yang didakwa menghina simbol agama Hindu dikenali sebagai Trisula, yang dilaporkan telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan penganut agama tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Selasa, Syahredzan berkata beliau memandang serius insiden berkenaan dan mengutuk keras tindakan yang disifatkannya sebagai melampau.

Beliau menegaskan bahawa dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, keharmonian antara rakyat perlu sentiasa dipelihara dan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum serta agama harus dielakkan.

Menurut beliau, penghinaan atau provokasi terhadap mana-mana agama tidak boleh diterima dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas tanpa mengira latar belakang pihak yang terlibat. Katanya, isu berkaitan penggunaan tanah atau rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melakukan penghinaan terhadap simbol agama.

Syahredzan turut menggesa Polis Diraja Malaysia supaya menyiasat insiden tersebut dengan segera memandangkan laporan polis telah dibuat terhadap individu berkenaan.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata kegagalan bertindak boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap pihak berkuasa dan berpotensi mendorong sesetengah pihak mengambil tindakan sendiri, sekali gus mencetuskan keadaan tidak terkawal.

Selain itu, Syahredzan juga menggesa pihak kerajaan, khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Kementerian Perpaduan Negara, untuk memperbanyakkan program melibatkan golongan muda daripada pelbagai kaum dan agama bagi memperkukuh perpaduan.

Beliau turut mencadangkan supaya satu pertemuan diadakan melibatkan wakil-wakil agama bagi meredakan ketegangan yang timbul sejak kebelakangan ini.

“Jangan biarkan api kemarahan dan kebencian membakar negara. Ini tanggungjawab kita bersama,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat