Oleh Zihan Zari
BUKIT MERTAJAM – Wanita hari ini bukan sekadar penerima manfaat pembangunan, tetapi rakan strategik dalam memacu kemajuan ekonomi, kestabilan sosial dan kesejahteraan komuniti, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ling.
Kerajaan menyedari bahawa wanita, apabila diberikan ruang, sokongan dan ekosistem yang kondusif, mampu menjadi pemacu ekonomi yang mampan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Auditorium Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Hj. Baderul Amin Abdul Hamid; dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Dr. Faridah Awang.
Hui Ling berkata, sambutan ini merupakan acara yang amat bermakna dalam usaha kerajaan meraikan sumbangan wanita serta memperkukuh komitmen bersama terhadap agenda pemerkasaan wanita di negeri ini.
Pemerkasaan wanita bukan sekadar agenda kementerian, tetapi merupakan tanggungjawab bersama melalui pendekatan Whole of Nation.
“Tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026, ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’, mencerminkan keperluan usaha yang berfokus, berterusan dan inklusif melalui penambahbaikan dasar, program serta inisiatif yang memberi impak langsung kepada kehidupan wanita di semua peringkat.
“Sambutan ini menjadi titik permulaan yang penting dalam memperteguh komitmen bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi merealisasikan agenda pemerkasaan wanita secara menyeluruh.
“Ia akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasa wanita, memperkukuh Ekonomi Jingga serta menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang bertamadun. Selain itu, platform penting untuk memastikan wanita terus diberi ruang dan peluang yang saksama dalam semua aspek kehidupan, ”katanya.
“Wanita memainkan peranan penting dalam memacu Ekonomi Jingga, khususnya dalam industri kreatif, digital dan berasaskan komuniti, bukan sekadar mencerminkan kreativiti, malah membawa nilai tambah ekonomi, identiti budaya dan kelestarian sosial, ”katanya lagi.
Menurut beliau, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah wanita di Malaysia adalah seramai 16.2 juta orang atau 47.5 peratus (%) daripada keseluruhan penduduk negara.
Anggaran penduduk wanita di Pulau Pinang pula seramai lebih 870 ribu orang, iaitu hampir 49% daripada keseluruhan penduduk negeri, turut mencatatkan peningkatan kadar penyertaan tenaga kerja wanita yang memberangsangkan, iaitu 46.7% pada 2022, 47.3% pada 2023 dan meningkat kepada 57.6% pada 2024.
Statistik ini selari dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab industri, teknologi, pendidikan dan ekonomi kreatif, serta membuktikan bahawa kemajuan negeri ini tidak dapat dicapai tanpa penglibatan aktif golongan wanita.
Menurutnya lagi, Pulau Pinang telah melahirkan ramai wanita unggul dalam pelbagai bidang, termasuk kepimpinan, pendidikan, kebudayaan, keusahawanan sosial dan industri kreatif.
Antaranya, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia. Dalam bidang keusahawanan, menampilkan tokoh wanita seperti Mila Jirin, usahawan selebriti yang memiliki rangkaian perniagaan Bizmilla serta terlibat aktif dalam pendigitalan perniagaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim atas pelaksanaan Program Penang Women Entrepreneur Mentoring (PENMentor) yang menjadi asas kepada pembangunan kepimpinan, profesionalisme dan keusahawanan wanita di negeri ini.
Ujarnya, inisiatif ini selari dengan usaha Kerajaan dalam mencapai sasaran keberhasilan di bawah Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan 5 Pembangunan Wanita 2025–2030, khususnya dalam bidang keutamaan ekonomi.
“Kerajaan Persekutuan akan terus berperanan sebagai pemudah cara melalui penyediaan latihan kemahiran digital, akses pembiayaan, literasi pemasaran serta perlindungan sosial, dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, industri kreatif dan komuniti.
“Walaupun pelbagai kemajuan telah dicapai, cabaran seperti keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan, kekangan akses ke tampuk kepimpinan serta keperluan sokongan bersasar masih perlu ditangani, terutamanya bagi wanita bandar, golongan berpendapatan rendah dan mereka dalam sektor ekonomi tidak formal, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, ekonomi penjagaan (care economy) dan sumbangan suri rumah merupakan asas penting kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat, namun peranan golongan ini kurang diberi perhatian dan pengiktirafan sewajarnya.
“Oleh itu, usaha memperkukuh program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula perlu dipertingkatkan bagi membolehkan wanita kembali menyertai pasaran kerja secara lebih produktif dan berdaya saing.
“Sasaran untuk mencapai 60% penyertaan wanita dalam tenaga kerja menjelang tahun 2033 bukan sekadar angka, tetapi merupakan satu seruan nasional yang menuntut sinergi dan komitmen semua pihak agar potensi wanita Malaysia dapat terus dimanfaatkan sepenuhnya, ”tambahnya lagi. -SUARA.TV



