KUALA LUMPUR – Malaysia Hindu Sangam (MHS) menggesa agar sebarang tindakan penguatkuasaan berkaitan rumah ibadat dilaksanakan secara adil dan berhemah, dengan mengambil kira kesan terhadap keharmonian antara agama di negara ini.
Memetik laporan Malaysiakini, Presiden MHS, T Ganesan menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin kebebasan beragama, sambil mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa kebanyakan kuil Hindu di Malaysia berdepan isu bersifat legasi sejarah.
Menurutnya, permasalahan yang melibatkan kuil Hindu bukan isu baharu, sebaliknya telah berlarutan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan, hasil perubahan landskap sejarah dan sosioekonomi.
“Banyak kuil Hindu telah wujud sejak puluhan, malah ratusan tahun, dan berfungsi bukan sahaja sebagai tempat ibadat, tetapi juga sebagai pusat kebudayaan, kebajikan dan identiti komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa latar sejarah kewujudan kuil-kuil berkenaan perlu diberi pertimbangan yang adil dan berperikemanusiaan dalam sebarang keputusan pentadbiran.
“Sejarah kewujudan ini perlu diberi pertimbangan yang adil dan berperikemanusiaan dalam sebarang tindakan pentadbiran,” tambahnya.
Ganesan turut menjelaskan bahawa kewujudan rumah ibadat tanpa kelulusan formal sering berpunca daripada faktor sejarah, kelemahan tadbir urus pada masa lalu, perubahan status tanah serta ketiadaan mekanisme penyelesaian yang jelas pada peringkat awal.
“Ia bukan semata-mata akibat keingkaran undang-undang oleh komuniti,” katanya lagi.
Terdahulu, Anwar dilaporkan mengkritik pihak yang mempertahankan pembinaan rumah ibadat yang melanggar undang-undang, selain mengecam individu atau kumpulan yang cuba mengambil tindakan sendiri.
Perdana Menteri menegaskan bahawa walaupun kebebasan beragama dijamin Perlembagaan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan pembinaan rumah ibadat tanpa mematuhi undang-undang.
“Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan, naik di mana-mana di bawah pohon, di mana-mana. Ini mesti dibendung,” katanya.
Anwar turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa tempatan telah diarahkan untuk merobohkan mana-mana rumah ibadat yang dibina secara haram.
Mengulas lanjut, Ganesan berkata banyak kuil Hindu di negara ini telah wujud lebih daripada satu abad dan berperanan sebagai pusat kebudayaan serta simbol identiti masyarakat setempat.
Beliau turut mendedahkan bahawa pada 6 April tahun lalu, MHS telah menyerahkan satu memorandum menyeluruh kepada Pejabat Perdana Menteri berhubung isu-isu yang membelenggu kuil Hindu di Malaysia.
Dalam memorandum tersebut, MHS mencadangkan penubuhan sebuah badan khas di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi mengurus dan menyelaras hal ehwal kuil Hindu, yang akan diterajui MHS bersama NGO berasaskan agama Hindu lain.
“Cadangan ini bertujuan menyediakan penyelesaian jangka panjang dan berstruktur, termasuk mekanisme pemutihan (regularisation / whitening) kuil-kuil yang mempunyai isu pemilikan tanah, selaras dengan undang-undang, keadilan sosial dan realiti sejarah kewujudan kuil di Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri supaya meneliti memorandum berkenaan secara serius serta mengutamakan pendekatan dialog dalam menangani isu tersebut.
“MHS menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan semua pemegang taruh bagi memastikan rumah ibadat Hindu dipelihara, diurus secara sah dan dihormati, selaras dengan semangat Malaysia Madani yang menjunjung keadilan, ihsan dan keterangkuman,” katanya.



