KUALA LUMPUR – Pas tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang mengusulkan agar kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk memantau tindakan penguatkuasaan SPRM.
Menurut Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari, cadangan Nurul Izzah itu hanya akan berlalu begitu sahaja.
Kata beliau, adalah lebih baik tumpukan dulu kepada pelaksanaan manifesto Pakatan Harapan (PH) sendiri di mana ia menyatakan bahawa ‘Pencalonan Ketua Pesuruhjaya SPRM’ perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dwipartisan.
“Langkah ini bagi menjamin pelantikan calon yang neutral tanpa tujuan melindungi kepentingan pihak tertentu.
“Inipun tidak akan dilaksanakan kerana kerajaan banyak bergantung talian hayat dengan individu-individu yang tiba-tiba kaya dengan luar biasa,” dakwa Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Fadhli berkata demikian sebagai reaksi kepada Timbalan Presiden PKR yang mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk memantau tindakan penguatkuasaan SPRM dan menurutnya jawatankuasa itu harus menjawab terus kepada Parlimen.
“Dengan hormat, saya berpandangan cadangan ini hanya akan menambahkan biokrasi dan prosedur yang tidak perlu.
“Bahkan saya yakin kerajaan tidak akan melaksanakannya,” katanya.
Nurul Izzah Anwar sebelum itu, mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk memantau tindakan penguatkuasaan SPRM.
Dalam komentar yang disiarkan The Star semalam, Nurul Izzah berkata jawatankuasa itu harus menjawab terus kepada Parlimen.
Menurutnya, isu yang dihadapi SPRM bersifat sistemik, dengan kuasa penyiasatan, pendakwaan dan kewangan berpusat kepada satu institusi di bawah Akta SPRM.
Isu tersebut, katanya lagi, diburukkan lagi dengan pemantauan luar yang terhad terhadap SPRM dan boleh dikatakan tidak berkesan.
“PKR konsisten membangkitkan kebimbangan ini sejak awal 2000-an. Apabila kuasa sebegini tidak dipantau, risiko salah guna bukanlah sesuatu yang bersifat hipotesis – ia tidak dapat dielakkan.
“Apabila tiada siapa memantau pihak yang membuat pemantauan, kebertanggungjawaban akan terhakis,” kata bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu.



