Kadar pensijilan MSPO estet sawit capai 90 peratus, kerajaan komited penuhi piawaian global – Noraini

KUALA LUMPUR,— Kadar pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi estet sawit negara kini mencecah 90 peratus, manakala 85 peratus pekebun kecil persendirian telah memperoleh pensijilan tersebut setakat ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pematuhan penuh terhadap piawaian kemampanan antarabangsa, khususnya dalam menghadapi keperluan Peraturan Produk Bebas Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR).

Menurut beliau, bagi memperluas liputan pensijilan kepada pekebun kecil, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyediakan bantuan geran sepenuhnya kepada golongan berkenaan.

“Kerajaan memberikan komitmen penuh untuk memenuhi keperluan EUDR bukan sahaja bagi sektor sawit tetapi juga untuk semua komoditi lain,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Noraini berkata kementeriannya kini di peringkat akhir membangunkan Sistem Kebolehjejakan Nasional (SKN) bagi menyokong pematuhan terhadap EUDR dan memperkukuh daya saing global industri sawit negara.

Beliau menjelaskan SKN merupakan sistem bersepadu yang menggabungkan sistem sedia ada di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk menyokong pematuhan peraturan serta keperluan kemampanan pada masa hadapan.

“SKN ini dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada Mac 2026,” katanya.

Tiga sistem utama yang membentuk teras SKN ialah Sawit Intelligent Management System (SIMS), GeoSawit dan e-MSPI.

SIMS berfungsi merekod maklumat pelesenan dan transaksi rantaian bekalan daripada ladang sehingga pintu keluar pelabuhan, manakala GeoSawit memetakan lokasi sebenar kebun dan ladang termasuk pemantauan penyahhutanan selaras dengan keperluan EUDR.

Sementara itu, sistem e-MSPI memaparkan status serta maklumat pensijilan MSPO terkini.

“Melalui SKN, setiap rantaian sawit Malaysia akan mempunyai data geolokasi lengkap bagi ladang dan pekebun kecil termasuk pemantauan penyahhutanan, maklumat pemilikan, pemegang lesen MPOB yang sah, status pensijilan dan audit MSPO serta rekod transaksi digital dari ladang hingga produk akhir,” katanya.

Setakat ini, keluasan tanaman sawit berlesen di seluruh negara adalah sekitar 5.7 juta hektar.

Dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran sawit, kerajaan turut menumpukan pendekatan strategik berasaskan peningkatan produktiviti termasuk pelaksanaan Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPS 2.0).

Bagi sektor lada pula, Noraini berkata Lembaga Lada Malaysia (MPB) menggalakkan pekebun memberi fokus kepada penghasilan lada premium seperti Lada Berkualiti Eksport dan Lada Putih Krim yang mampu mencecah harga sehingga RM65,000 satu tan metrik di pasaran.

Menurut beliau, pendekatan itu bertujuan membolehkan pekebun menikmati pulangan lebih baik melalui harga premium, di samping memastikan bekalan lada premium yang konsisten bagi memenuhi permintaan pasaran niche peringkat atasan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat