KUALA LUMPUR – Bendahari Agung Pas Datuk Iskandar Samad membangkitkan persoalan berkait kemungkinan jika Bersatu keluar Perikatan Nasional (PN) dan bergerak di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
Namun, beliau mempersoalkan keupayaan IPR untuk menandingi kekuatan PN.
“Jika Bersatu keluar Perikatan Nasional (PN) dan bergerak di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), bolehkah IPR menandingi PN?” soal Iskandar ringkas dalam hantaran di Facebooknya.
Susulan persoalan itu, rata-rata pengikutnya memberi reaksi antaranya – “keluar cepat sikit”, “tak boleh YB. Rakan-rakan komponen Bersatu tu nak buat mesyuarat PIBG pun tak lepas”, “soalannya ,ada jentera ke? dulu jentera Pas dipergunakan”, “IPR akan ke laut”, “Pas lead PN…yang nak keluar biarkan keluar, yang terlebih utama ialah Pas kena lipat gandakan aktiviti santuni rakyat disegenap pelusuk negara” dan pelbagai lagi ulasan.
Mungkin persoalan Bendahari Agung Pas ini merujuk kepada laporan portal sebelum ini yang mengatakan, Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) berpotensi menjadi ‘sandaran sementara’ Tan Sri Muhyiddin Yassin jika kemelut kepimpinan dalam PN terus berlarutan menjelang PRU16, namun penganalisis berpandangan laluan itu sarat dengan risiko besar.
Syaza Shukri dan Abdul Muqit Muhammad berpandangan, PN masih kekal sebagai platform lebih menguntungkan bagi Presiden Bersatu itu kerana memiliki jentera pilihan raya tersusun berbanding IPR yang belum memperlihatkan objektif jelas sebagai gabungan pilihan raya.
“PN lebih bersedia sebagai jentera pilihan raya. IPR pula setakat ini lebih menyerupai platform wacana politik.
“Persoalannya, adakah ia boleh berkembang menjadi satu blok kerjasama pilihan raya yang sebenar,” kata Syaza dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Bagaimanapun, beliau mengakui IPR memberi kelebihan dari sudut kepimpinan kepada Muhyiddin, memandangkan PN sendiri masih berdepan kecelaruan dalaman berkaitan jawatan pengerusi dan hala tuju gabungan.
“Saya melihat ini sebagai strategi survival. IPR membantu mengekalkan ‘visibility’ Muhyiddin.
“Pada masa sama, kita juga lihat Pas kembali bercakap soal Muafakat Nasional (MN), seolah-olah kedua-duanya menunjukkan hilang keyakinan terhadap PN,” katanya.
Muqit juga berpendapat, kehadiran Muhyiddin dalam IPR memberi gambaran beliau terdesak untuk kekal relevan ketika berdepan konflik dalaman Bersatu dan hubungan yang semakin renggang dengan Pas.
“Namun, langkah ini tidak akan meletakkan Muhyiddin pada kedudukan lebih baik berbanding ketika bersama Pakatan Harapan atau PN. Malah, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke belakang,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kemelut dalaman PN sebagai bukti gagasan penyatuan Melayu sekadar retorik politik yang sering dikitar semula, manakala IPR pula dijangka sukar memberi impak signifikan dalam persaingan pilihan raya akan datang.



