Pembukaan kilang Bio Eneco Sdn. Bhd. di Gebeng bukan sekadar pembangunan sektor tenaga hijau, sebaliknya dilihat sebagai pemacu baharu yang berpotensi merancakkan ekonomi setempat dan memperkukuh ekosistem industri di Pantai Timur.
Perasmian kilang berteknologi tinggi itu oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi simbol keyakinan pelabur terhadap keupayaan wilayah ini menarik projek bernilai tinggi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang aktiviti rantaian bekalan tempatan.
Keberangkatan baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak, bersama kepimpinan industri termasuk Pengerusi Elridge Energy Tan Sri Dr Azmil Khalili Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yeo Hock Cheong.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib serta Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Menurut Hock Cheong, operasi kilang yang memanfaatkan sisa industri kelapa sawit untuk menghasilkan bahan api boleh diperbaharui bukan sahaja mencipta nilai tambah industri, malah membuka ruang kepada pemain tempatan menyertai ekosistem baharu berasaskan teknologi hijau.
Lokasi di Gebeng Industrial Estate juga memberi kelebihan strategik kerana berhampiran Pelabuhan Kuantan, sekali gus memudahkan pergerakan bahan mentah, pengedaran produk dan akses ke pasaran eksport seperti Jepun.
Penganalisis industri melihat projek ini sebagai pemangkin pembangunan ekonomi serantau, dengan kesan limpahan terhadap sektor logistik, perkhidmatan sokongan, latihan kemahiran serta pembangunan vendor tempatan.

Selain menjana peluang pekerjaan, projek tersebut dijangka membantu memperluas asas ekonomi Pantai Timur yang sebelum ini banyak bergantung kepada sektor tradisional, sekali gus meningkatkan daya saing wilayah dalam menarik pelaburan berteknologi tinggi.
Kilang di Gebeng merupakan kemudahan ketiga milik syarikat itu selepas operasi di Telok Gong, Pelabuhan Klang dan Kapar, Klang, manakala kemudahan seterusnya dirancang di Pasir Gudang, Johor mencerminkan pengembangan rangkaian industri yang turut membuka peluang kerjasama antara wilayah.
Dengan kemunculan pelaburan seperti ini, Gebeng dilihat semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai hab industri strategik yang bukan sahaja menyokong sektor tenaga baharu, malah menjadi pemangkin transformasi ekonomi setempat dalam jangka panjang.



