KUALA LUMPUR – “Buat ‘Mat AMK’ bolehlah bertanding semua 56 kerusi DUN Johor pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) nanti, tiada siapa yang sibuk nak halang kamu bertanding”.
Demikian kata sinis Ketua Umno Bahagian Sri Gading Datuk Mohd Lassim Burhan sebagai reaksi kepada Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor Muhammad Faezuddin Mohd Puad.
“Kenyataan AMK dan Parti Amanah yang sering membangkitkan isu pembahagian kerusi untuk PRN 16 telah menunjukkan sifat gelojoh dan pentingkan diri.
“Umno Johor sendiri belum pernah melalui perhubungan negeri berbincang tentang pembahagian kerusi untuk PRN-16. Gambaran yang diberikan pula seolah Umno tamak dan PRN akan berlangsung esok hari.
“Bagi kami, lebih baik AMK dan sekutunya bertanding semua kerusi tanpa memikirkan soal berapakah kerusi yang akan Umno tandingi pada PRN16 nanti,” katanya.
Lassim membidas, seperti mana yang semua ketahui bahawa Umno bukanlah Komponen Gabungan Parti Politik PH.
Sebaliknya kata beliau, Umno juga boleh bergerak bertanding semua dan Umno juga boleh memilih kerusi mana yang dirakan sesuai untuk ditandingi.
“Akhir kata, buat ‘Mat AMK’ bolehlah bertanding semua 56 kerusi DUN Johor pada PRN-16 nanti, tiada siapa yang sibuk nak halang kamu bertanding,” tempelak beliau lagi.
Tegas Lassim, Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Umno Johor dan Barisan Nasional begitu komited memajukan Johor.
“Buktinya dengan unjuran hasil dan juga berjaya menarik pelaburan serta penjenamaan model ekonomi baru yang dapat mencipta peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat negeri.
“Kemakmuran ini juga disokong oleh kepercayaan dan rasa kasih rakyat kepada pimpinan negeri,” katanya.