KUALA LUMPUR – Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menafikan laporan SUARA.TV bahawa beliau mendapat sebarang cadangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya negeri akan datang.
Sebaliknya, Bung mengulangi bahawa Umno Sabah secara konsisten enggan bekerjasama dengan GRS.
Walaupun Bung menafikan sebarang pertemuan seperti itu telah berlaku namun beliau mengakui penolakan Ketua – Ketua UMNO Bahagian Sabah terhadap GRS itu ada kebenaran.
“Tiada mesyuarat. Itu mungkin juga spekulasi. Tiada nama disebut, ia hanya andaian dari laporan portal tersebut. Tetapi jika ini yang mereka katakan – kerjasama dengan GRS – kita pasti tidak mahu dan tidak bersetuju.
“Di bawah mereka (kerajaan GRS), jawatan kita dibuang, peruntukan tidak diberikan, dan kini tiba-tiba kita sepatutnya bekerjasama dengan parti sebegitu? Tidak masuk akal,” katanya.
“Saya rasa ini hanya spekulasi. Saya tidak pernah mendengar sebarang arahan untuk bekerjasama dengan GRS. Sebagai ketua Umno Sabah, saya secara konsisten menyatakan bahawa Umno Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS.
“Dari awal, sejak kami meninggalkan kerajaan GRS, Umno tetap berpendirian bahawa kami tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan GRS,” katanya kepada Sinar Harian
SuaraTV semalam melaporkan 22 daripada 25 orang Ketua UMNO Bahagian Sabah menolak cadangan kompromi kerusi dengan GRS dan lebih bersedia bekerjasama dengan Warisan dan StarSabah.