Dividen KWSP dijangka lebih 5.8 peratus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka menerima dividen melebihi 5.8 peratus bagi simpanan konvensional tahun lalu, menjadikannya kadar tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Ia meningkat sedikit berbanding 5.5 peratus yang diumumkan pada 2023, menurut portal FMT memetik laporan sumber.

Kadar bagi simpanan syariah pula dianggarkan antara 5.4 peratus hingga 5.6 peratus, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.

Dua tahun lalu, KWSP mengagihkan dividen 5.4 peratus bagi akaun syariah.

Sumber itu menyatakan angka itu adalah ‘anggaran selamat’ dan angka muktamad dijangka diumumkan oleh dana persaraan itu pada awal Mac.

“Kadar ini mungkin yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun terakhir. Purata dividen bagi 10 tahun lalu ialah 6 peratus. Apa pun, ia pasti jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu,” kata sumber itu kepada portal berkenaan.

Jumlah keseluruhan bayaran dividen bagi akaun konvensional pada 2023 adalah RM50.33 bilion, manakala bagi simpanan syariah pula sebanyak RM7.48 bilion.

KWSP kini mempunyai kira-kira 16 juta ahli, dengan lebih 8.5 juta daripadanya adalah pencarum aktif.

Laporan berita baru-baru ini turut memetik beberapa ahli ekonomi yang mengatakan kemungkinan dividen tahun lalu melebihi 6 peratus adalah tinggi berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024.

Bagi sembilan bulan pertama tahun lalu, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM57.57 bilion, meningkat 20 peratus daripada RM47.86 bilion dalam tempoh sama pada 2023.

Sumber itu berkata, pencarum tidak seharusnya mengharapkan dividen terlalu tinggi kerana KWSP antara segelintir dana persaraan di dunia yang mengagihkan dividen berdasarkan pulangan yang direalisasikan, iaitu keuntungan sebenar selepas pelaburan dijual.

“Ini bermaksud keuntungan atau kerugian yang diperoleh selepas sesuatu pelaburan dijual, berbeza dengan pulangan tidak direalisasikan, iaitu keuntungan atau kerugian atas pelaburan yang masih dipegang. Ini diklasifikasikan sebagai jumlah pulangan.

“KWSP tidak mengira dividen berdasarkan jumlah pulangan, yang termasuk keuntungan atas kertas yang masih bergantung kepada prestasi pasaran,” jelas sumber itu mengenai pendekatan berhati-hati KWSP.

Sumber itu turut menyatakan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja Singapura menggunakan pendekatan pulangan direalisasikan, dengan purata dividen dalam tempoh 10 tahun terakhir sekitar 4 peratus.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat