KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Nor Adam menasihati penyokong dan mereka yang rapat dengan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menggunakan ‘otak’ dalam usaha membantu bekas Perdana Menteri itu mendapat pengampunan.
Menurut beliau tindakan mereka yang rapat dengan Mohd Najib mengadakan ‘hubungan’ dengan Tun Mahathir dan pemimpin Perikatan Nasional (PN) boleh menjejaskan usaha mendapatkan pengampunan tersebut.
“Saya minta satu sahaja, gunakanlah otak yang waras, simpatilah dengan Datuk Seri Najib, berapa lama kita hendak dia duduk dalam penjara. Bila orang yang rapat dengan Datuk Seri najib sendiri menjalinkan hubungan dengan cukup mesra dengan Perikatan Nasional, apa isyarat yang diberikan kepada kerajaan? Orang akan nampak seolah-olah Datuk Seri Najib yang hendak menjatuhkan kerajaan.”
Dalam live Facebook sebentar tadi Lokman seolah-olah memberi isyarat bahawa antara orang yang rapat mengadakan hubungan dengan PN ialah Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Mohd Najib.
“Saya tidak nafikan Datin seri Rosmah mungkin tertekan, dah cuba dengan pelbagai kaedah untuk membantu pembebasan Datuk Seri Najib, sampai terlalu terdesak sehingga mendapatkan kerjasama dengan puak-puak perikatan nasional.”
Lokman turut mengingatkan Rosmah dan penyokong Mohd Najib hanya kerajaan Pakatan Harapan boleh membantu membebaskan Mohd Najib.
Lokman turut mengingatkan penyokong Mohd Najib bahawa mengadakan kerjasama dengan PN akan menjejaskan usaha mendapatkan pengampunan kerana kuasa mengampun Mohd Najib terletak kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Lokman mendakwa Sultan Ibrahim tidak suka dengan empat pemimpin iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan arwah Tun daim Zainuddin sehingga tidak menjemput mereka ke majlis Pertabalan Yang Di Pertuan Agong.
“Kita dah tahu dah bahawa baginda tuanku, dia empat orang dia tak bagi hadir dalam majlis angkat sumpah baginda, Mahathir, Muhyiddin, Hishamuddin Tun Hussien dan juga Daim Zainuddin. Jadi yang minta tolong dengan geng-geng Perikatan Nasional dengan atuk semua ini untuk apa?”
“Mahathir boleh jadi Perdana Menteri balik? Muhyiddin boleh jadi Perdana Menteri balik? Hishammuddin boleh jadi Perdana Menteri? … Daim dah meninggal dah. Jadi Puak-puak yang kita minta tolong ni nak angkat sumpah depan sapa?”