KUALA LUMPUR — Kerajaan menyarankan agar kerajaan perpaduan diwujudkan di Sabah dengan melibatkan kesemua parti yang berada dalam kerajaan di peringkat pusat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan antara formula yang telah dijalankan oleh kerajaan bagi menyelesaikan kemelut politik yang sedang meledak di negeri itu.
“Saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) bersetuju bahawa harus ada tempoh bertenang, jadi dalam keadaan bertenang ini pun masih ada perkara-perkara yang berlaku.
“Tetapi yang penting matlamat Datuk Seri Anwar bagi menyarankan agar diwujudkan kerajaan perpaduan Di sabah yang akan melibatkan kesemua parti-parti yang berada didalam kerajaan perpaduan di peringkat pusat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Media di Menara Kuala Lumpur hari ini.
Tambahnya, meskipun kaedah tersebut tidak sukar untuk dilaksanakan namun aspek penerimaan merupakan perkara yang perlu diambil kira terlebih dahulu ketika ini.
“Saya yakin sabah tidak mahu pilihanraya negeri yang ini bukan hanya memenatkan dalam waktu sama membebankan.
“Demokrasi bukan hanya melalui pilihanraya, tetapi kesepakatan diantara parti parti politik yang semua berhasrat untuk memberi kesejahteraan,” tambahnya.
Jumaat lepas, Bung Moktar mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji, susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional dilanggar.
Bagaimanapun pada Sabtu, lima wakil rakyat daripada BN menyatakan pendirian menyokong Hajiji dan merupakan antara 44 ADUN yang didakwa masih memberikan sokongan kepada beliau sebagai Ketua Menteri serta mengekalkan kerajaan negeri ketika ini.