KUALA LUMPUR – Kabinet Sabah dirombak selaras semangat Kerajaan Perpaduan dengan dua ADUN Pakatan Harapan (PH) hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Kabinet Sabah yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Selain dua wakil rakyat PH iaitu Christina Liew (PKR) dan Phoong Jin Zhe (DAP), turut dilantik sebagai anggota Kabinet baharu ialah wakil rakyat BN, James Ratib.
Christina yang juga ADUN Api-Api merangkap Pengerusi PH Sabah memegang portfolio Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah manakala Jin Zhe yang juga ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe dilantik sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian.
Bung Moktar disingkirkan sebagai Timbalan Ketua Menteri, Menteri Kerja Raya
Upacara pelantikan Kabinet baharu Sabah hari ini turut menyaksikan pelantikan ADUN Tanjung Keramat dari Umno, Datuk Ir Shahelmey Yahya sebagai Timbalan Ketua Menteri III (TKM) Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah yang baru.
Beliau yang sebelum ini adalah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat menggantikan ADUN Lamag yang juga Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Turut diumumkan Hajiji ialah pelantikan Presiden STAR Jeffrey Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri I menggantikan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar.Beliau juga memegang portfolio Menteri Pertanian dan Perikanan.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan Perumahan diisi Datuk Dr Jaochim Gunasalam.
Manakala Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Eliron Angin; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.
Menurut Hajiji, rombakan Kabinet adalah sesuatu yang perlu dan bertujuan mengukuhkan kerajaan negeri sekarang.
“Untuk itu, kami memerlukan satu pasukan yang kuat.
“Menyedari keperluan untuk membentuk satu pentadbiran inklusif, saya telah memasukkan ADUN dari PH ke dalam Kabinet, sebagai tambahan di samping wakil dari Umno/BN dan GRS,” kata Hajiji dalam kenyataan pada Rabu.
Tegas Hajiji, adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi yang sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati.
“Kerajaan negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang punya iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan
oleh rakyat.
“Kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini. Bersama satu pasukan yang kukuh, kami akan memastikan pelaburan dinamik kerajaan negeri dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat
menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah.
“Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri,” katanya.



